Pemain tengah Felda United FC, S Chanturu akui kemenangan ke atas PKNS FC mampu melonjak kedudukan pasukan ke tempat yang lebih selamat dalam carta Liga Super musim ini.
“Ketika ini, kami perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan terlebih dahulu, dan ia perlu dimulakan dengan mengutip tiga mata apabila melayan kunjungan pasukan PKNS FC pada Jumaat ini.
“Setakat ini, kami hanya mampu mencatat satu kemenangan selain enam seri daripada 14 perlawanan. Oleh kerana itu, kami tiada lagi pilihan lain kecuali menang semua baki lapan perlawanan termasuk menentang PKNS FC bagi mengelak tersingkir,” katanya kepada BH Sukan.
Felda United sekarang menghuni tangga tercorot liga dan antara pasukan yang menjadi calon untuk diturunkan ke Liga Perdana.
Justeru, kemenangan ke atas PKNS pada Jumaat depan sangat diharapkan oleh skuad The Fighters selain ia juga dapat memberi motivasi tambahan kepada para pemain untuk terus berjuang.