Malaysia Berita

Jangan sekadar jadi penyokong lalang

Cubalah ubah mentaliti penyokong lalang yang hanya datang ke stadium apabila pasukan berada dalam prestasi baik dan langsung tidak turun padang apabila pasukan berada dalam prestasi yang buruk.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA), Nor Asmadi Hamzah berkata, segelintir penyokong yang dilabel lalang hanya pandai melontar kritikan ketika prestasi pasukan merudum.

Katanya, mentaliti itu perlu diubah bagi memastikan bola sepak tempatan terus berkembang dan setanding dengan liga luar negara yang lebih maju.

“Memang betul apa yang Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim katakan sebelum ini yang penyokong seperti ini hanya pandai mengkritik, tapi tak pergi ke stadium.

“Mungkin mereka perlukan masa kerana banyak terpengaruh dengan media sosial. Tapi beberapa faktor lain termasuk ketiadaan pemain ternama dan perjalanan liga kita yang panjang juga menyebabkan penyokong semakin berat hati untuk ke stadium.

“Jadi, kami sebagai kelab penyokong yang sentiasa bersama pasukan berharap semua peminat terutama di Kedah dapat memberi sokongan padu kepada pasukan tidak kira ketika menang atau kalah,” katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid pula mengharapkan seluruh penyokong perlu menunjukkan sokongan padu kepada pasukan supaya perubahan yang diharapkan dari pihak pengurusan dapat dilaksanakan.

“Memang ada penyokong yang mana bila pasukan kalah tak nak turun ke stadium, saya rasa benda macam ini tidak patut berlaku. Memang sukar untuk menilai setiap penyokong dalam Liga Malaysia ini.

“Seperti di Selangor, kita sudah dapat presiden baharu dan kembali beraksi di Shah Alam, jadi kita sepatutnya memberi sokongan untuk perubahan pasukan bagi musim depan.

“Mungkin juga kerana prestasi pasukan tidak baik sekarang ini menyebabkan penyokong kurang ke stadium, tapi perlu teruskan sokongan dan bukan hanya menunggu pasukan masuk final,” katanya.