Nampaknya pemain futsal kebangsaan, Khairul Effendy Bahrin benar-benar telah meninggalkan impak yang cukup besar pada kelab Liga Pro Futsal Indonesia, SKN Kebumen FC.
Biarpun bukanlah penjaring gol yang prolifik untuk SKN Kebumen, tetapi jaringan pemain yang terkenal dengan panggilan Ayon ini memberi kesan besar kepada SKN Kebumen terutamanya jaringan kemenangan di perlawanan separuh akhir oleh Ayon.
Ketua jurulatih SKN Kebumen FC, Deny Handoyo berharap SKN akan cuba mengekalkan Khairul Effendy bagi saingan Kejohanan AFF Futsal Club 2018 nanti.
Menurut Deny, Ayon memainkan peranan penting untuk SKN dengan pengalamannya yang begitu banyak dalam dunia futsal.
“Saya secara peribadi berharap Ayon akan tetap dapat bersama kami di AFF Futsal Club kerana keserasian yang sudah terjalin sejak dia bermain di sini. Tentu sukar buat kami kalau kami menggunakan terlalu ramai pemain baru,” kata Deny seperti dilaporkan media Indonesia, Bolalob.
Namun, Ayon telah menyatakan bahawa dia masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan kekal bersama SKN atau tidak. Agak sukar buatnya membuat keputusan terutamanya kerana Melaka United turut berada di dalam kumpulan yang sama dengan SKN Kebumen.
SKN Kebumen FC dan Melaka United berada di dalam kumpulan B bersama Bangkok BTS dan Sanatech Khan Hoa . SKN mensasarkan untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir bagi Kejohanan AFF Futsal Club ini.