Santai Luar Negara

Pilihan Football Tribe: Kesebelasan terbaik EPL 2017/2018

Kempen Liga Perdana Inggeris baru sahaja menutup tirai hujung minggu lepas, dengan Manchester City mencipta sejarah selepas menjadi pasukan EPL pertama untuk mencatat 100 mata. Man United pula sah menduduki tempat kedua, manakala Tottenham Hotspur dan Liverpool mengambil tempat ketiga dan tempat keempat.

Penyerang Liverpool, Mo Salah muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 32 jaringan gol, manakala pemain tengah Man City, Kevin de Bruyne pula mengambil rekod catatan bantuan jaringan dengan 16 ‘assists’ sepanjang musim 17/18.

Untuk memberi menghargai pemain-pemain EPL yang menyinar musim ini, panel penulis Football Tribe di seluruh Asia telah membina kesebelasan terbaik Liga Perdana Inggeris untuk musim 17/18.

Berikut adalah senarai 11 pemain tersebut:

GK: David De Gea (Manchester United)

Biarpun Manchester United menamatkan Liga Perdana di tempat kedua musim ini, De Gea muncul sebagai pemain paling menyinar dengan 18 perlawanan tanpa bolos yang memberikannya Anugerah Penjaga Gol Terbaik. Persembahannya ketika menentang Arsenal di Emirates pada Disember lalu sahaja sudah meletakkan De Gea dalam senarai ini.

CB: Jan Vertonghen (Tottenham Hotspur)

 

Vertonghen terus membuktikan kenapa dia merupakan antara pemain pertahanan yang boleh diharapkan di Liga Perdana. Tanpa kelibat gandingan biasanya, Toby Alderweireld, Vertonghen terus menyinar dan membentuk gandingan mantap bersama Davinson Sanchez. Sememangnya seorang pemimpin yang bagus untuk Spurs terutamanya di bahagian pertahanan.

CB: James Tarkowski (Burnley)

Tarkowski adalah antara sebab utama kenapa Burnley berjaya mendapat tempat ke-7 di Liga Perdana Inggeris musim ini, biarpun tidak diberi sebarang harapan. Kekuatan fizikalnya memberikan kelebihan kepada Burnley di bahagian pertahanan, dan dia juga menunjukkan ketenangan melampaui usianya.

 

CB: Nicolas Otamendi (Manchester City)

Otamendi sering dikritik kerana sering melakukan kesilapan dalam beberapa musim awalnya di England, tetapi musim ini dia bangkit semula untuk menunjukkan aksi konsisten yang membantu Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris. Otamendi juga menyumbang empat gol untuk paukan, dan membuat bentesan dengan kadar kejayaan setinggi 74%.

CM: Pascal Gross (Brighton & Hove Albion)

Dengan hanya bayaran perpindahan berjumlah 3 juta Pound, Pascal Gross telah menjadi nadi kepada skuad Chris Hughton dan misi mereka untuk mengelak penyingkiran. Dalam musim pertamanya di England, Gross telah menjaringkan tujuh gol dan membuat lapan bantuan jaringan – satu statistik yang mengagumkan kalau kita ambil kira ini juga merupakan musim pertama Brighton di Liga Perdana.

CM: Kevin De Bruyne (Manchester City)

Pemain pertama memenangi Anugerah Playmaker Terbaik musim ini dengan 16 bantuan gol. De Bruyne merupakan pesaing rapat untuk Mo Salah merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA dan sememangnya layak berada dalam senarai tersebut. Pemain menakjubkan musim ini. Jika tiada Mo Salah, pastinya De Bruyne yang akan memenangi anugerah tersebut.

LM: Leroy Sane (Manchester City)

Sane atau Sterling? Memang satu pilihan yang sukar. Tetapi berdasarkan sumbangan secara keseluruhan, kami memilih bintang muda Jerman ini. Sane menjaringkan 10 gol, membuat bantuan gol 15 kali- satu angka yang sepatutnya lebih lagi melihat begitu banyak peluang yang diciptanya bermain di bahagian sayap. Berita paling baik? Dia baru berusia 22 tahun!

RM: Mohamad Salah (Liverpool)

Apa lagi yang perlu diperkatakan mengenai Raja Mesir ini? Mo Salah sememangnya pemain terbaik Liga Perdana musim ini. Dalam musim pertamanya bersama Liverpool, dia telah menjaringkan 33 gol, membuat 10 bantuan gol, dan terlibat dalam hampir kesemua serangan Liverpool.

AM: Christian Eriksen (Tottenham Hotspur)

Di saat Harry Kane dan Dele Alli dilihat sering menjadi perhatian ramai, sumbangan Christian Eriksen tidak seharusnya diabaikan. Dia membuatkan bahagian tengah Spurs hidup dengan pergerakannya, ketenangan dan visi yang hebat ketika membuat hantaran. Musim ini, dia telah memainkan peranan yang cukup penting untuk kelab dan negaranya. 10 gol serta 10 bantuan jaringan, masih tidak cukup untuk anda?

 

FW: Harry Kane (Tottenham Hotspur)

Dia bukan sahaja penyerang terbaik England, tetapi dia juga merupakan antara penyerang terbaik dunia setakat ini. Satu lagi musim yang menakjubkan untuk penyerang Spurs ini selepas menjaringkan 30 gol dalam 37 penampilan. Jangan lupa, dia tidak menjaringkan sebarang gol pada bulan Ogos. Mula mendapat rentak pada September, tetapi tetap mampu bersaing untuk cuba mememangi gelaran kasut emas dengan 30 gol.

Penyerang: Sergio Aguero (Manchester City)

Dengan 21 gol, dia berada di tangga ketiga anugerah kasut emas di belakang Mo Salah dan Harry Kane. Tetapi, tanpa Aguero, sukar untuk Manchester City menamatkan musim sebagai pasukan dengan rekod jaringan terbaik. Kami ada pilihan untuk menggandingkan Kane dengan Bobby Firmino atau Jamie Vardy yang tidak kurang hebatnya, tapi kami tidak boleh mengabaikan Sergio ‘Kun’ Aguero.