Malaysia Eropah

Wajarkah pemain muda Malaysia ambil peluang beraksi di Liga Turki?

Mampukah pemain muda Malaysia beraksi di Turki?

Dalam satu laporan Berita Harian semalam, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menyatakan bahawa pemain muda negara berpeluang untuk beraksi di beberapa kelab terkemuka Turki selepas pihak AAFA telah melakukan kerjasama dengan beberapa kelab negara tersebut menerusi sokongan Konfederasi Bolasepak Turki (TFF).

Dalam kerjasama tersebut, pemain muda dari Malaysia boleh mendapat peluang untuk beraksi bersama kelab-kelab ternama Turki seperti Galatasaray, Besiktas dan Fenerbahce. Namun, persoalannya, adakah pemain muda kita benar-benar sudah bersedia untuk berkelana ke Eropah?

Sebelum ini, sudah beberapa pemain muda negara berkelana ke Eropah. Pemain seperti Akmal Rizal (FCSR Haguenau, Perancis), Juzaili Samion (SV Wehen, Jerman), Nazmi Faiz (Beira Mar, Portugal) dan Fakri Saarani (Atletico S.C, Portugal).

Daripada senarai itu, yang mungkin setakat ini boleh dikatakan benar-benar mendapat peluang beraksi adalah Akmal Rizal yang membuat 36 penampilan untuk FCSR Haguenau dan menjaringkan 10 gol sementara Fakri Saarani membuat lima penampilan untuk Atletico S.C yang beraksi di divisyen 3 Portugal (kini di Divisyen 2).

Pemain-pemain lain seakan-akan dihantar untuk sekadar berlatih. Mengikuti sesi latihan terutamanya dalam tempoh masa yang sekejap nampaknya tidak membuahkan hasil kerana ilmu yang diterima tidak cukup berbanding kalau mereka benar-benar beraksi dan berada di sana untuk tempoh yang lebih lama.

Mungkin ada baiknya kita menghantar pemain remaja yang berusia 12-15 tahun atau lebih muda supaya mereka benar-benar dapat menyerap segala ilmu yang ada. Tiada gunanya kita menghantar pemain berusia 21 tahun ke atas yang sudah bertahun-tahun biasa dengan Liga Malaysia dan tiba-tiba terus beraksi di liga Eropah.

Bayangkan pemain sudah biasa beraksi di stadium yang adakalanya lengang dan tiba-tiba beraksi dalam perlawanan di antara Fenerbahce dan Galatasaray yang suasananya begitu tegang.

Jika kita benar-benar serius, peluang untuk beraksi di Liga Turki ini perlu diberikan kepada pemain-pemain muda beraksi untuk skuad NFDP. Mereka sudah dibiasakan dengan bermain di kejohanan luar negara dan mungkin agak mudah untuk mereka membiasakan diri jauh dari keluarga berbanding pemain yang sudah berusia 21 tahun ke atas. Mereka juga mempunyai motivasi yang lebih untuk beraksi sebaik mungkin berbanding sesetengah pemain yang mungkin sudah lebih mengutamakan wang.

Walau apa pun, diharap kerjasama ini benar-benar akan memberi hasil kepada bolasepak Malaysia. Tiada lagi kerjasama yang sekadar memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja dan bersifat komersial. Kalau benar mahu melakukan kerjasama, biarlah ia benar-benar menguntungkan bolasepak Malaysia.