Brendan Gan diumumkan sebagai pemain baharu Kuala Lumpur City bagi menghadapi musim 2024-2025.
Pemain berusia 35 tahun itu membuat keputusan tersebut selepas tidak ditawarkan kontrak baharu oleh Selangor selepas empat tahun beraksi dengan kelab itu.
“Saya teruja untuk beraksi dengan KL City,” kata Brendan ketika sesi latihan pasukannya di Cheras.
“Sebenarnya agak singkat masa yang diambil untuk tandatangan kontrak ini, kredit kepada Stanley Bernard dan pengurusan pasukan yang menawarkan sesuatu yang membolehkan saya terus berada di KL.
“Soal keluarga adalah faktor terbesar dalam keputusan saya, jadi untuk kekal di ibu negara ini adalah penting bagi saya.”
Beliau merupakan sebahagian daripada pasukan Selangor yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua musim lalu dan layak beraksi dalam AFC Champions League 2 untuk musim akan datang.
Namun, Brendan menganggap KL mempunyai rekod dan prestasi yang baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“KL berjaya masuk tiga perlawanan final dalam tiga tahun berturut-turut jadi saya tidak sabar untuk mengenali pemain, pasukan dan jurulatih.
“Saya mahu menunjukkan aksi yang baik untuk kelab ini.”