Malaysia tewas 2-0 kepada Oman dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, awal pagi tadi.
Ia merupakan kekalahan pertama dalam pusingan kelayakan ini selepas meraih dua kemenangan berturut-turut menentang Kyrgyzstan sebelum ini.
Dua jaringan Oman terhasil pada separuh masa kedua oleh gandingan penyerang Issam Al Sabhi dan Muhsen Al Ghassani.
Oman mendominasi perlawanan sejak permainan bermula namun buntu dalam usaha mencipta jaringan dalam 45 minit pertama.
Biarpun memiliki beberapa peluang terbaik, namun penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bertindak cemerlang di gawang.
Antara peluang keemasan dimiliki Oman adalah menerusi tandukan Omer Al Malki pada minit ke-14 yang diselamatkan Ahmad Syihan berdekatan garisan gol dan rembatan deras Salaah Al Yahyae dari arah sebelah kiri kotak penalti pada minit ke-32, juga berjaya ditampan keluar.
Oman akhirnya memecah kebuntuan gol menerusi Issam yang menerima hantaran Ali Sulaiman Al-busaidi sebelum melepasi kawalan La’vere Corbin-Ong dan melepaskan rembatan dari jarak dekat pada minit ke-58.
Malaysia pantas menunjukkan respons positif, namun tidak bernasib baik untuk menyamakan kedudukan selepas tandukan Corbin-Ong berpunca sepakan penjuru Mohamad Faisal Abdul Halim hanya menggegar palang pada minit ke-61.
Berbaki kira-kira 20 minit permainan, Pan-gon membuat perubahan taktikal dan pertukaran pemain secara berperingkat dengan memasukkan Endrik Dos Santos, Azam Azmi Murad, Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Darren Lok.
Nasib sekali lagi tidak berpihak Malaysia apabila jaringan Paulo Josue pada minit ke-81 dibatalkan kerana ofsaid.
Oman melengkapkan kemenangan dengan gol kedua menerusi penyudah Muhsen yang memanfaatkan hantaran Ali Sulaiman pada minit ke-88.
Kemenangan Oman menyaksikan negara itu mendahului Kumpulan D dengan 6 mata, berkongsi mata dengan Kyrgyzstan dan Malaysia namun hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan.
Malaysia bagaimanapun berpeluang membalas dendam apabila berdepan kunjungan Oman di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Selasa depan.