Badan bebas First Instance Body (FIB) memaklumkan bahawa Kedah dan KL City telah gagal membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada tarikh pertama 15 Mac 2024 seperti yang ditetapkan oleh FIB.
Walaupun FIB memberi ruang untuk menyelesaikan tunggakan gaji atas komitmen tinggi kedua-dua kelab itu, namun FIB bersedia untuk mengenakan tindakan ke atas kedua-dua kelab itu untuk memastikan pematuhan kepada arahan FIB dihormati dan dipandang serius.
“Sekiranya gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac 2024, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda sebanyak RM 50,000 akan dikenakan dengan serta merta,” kata Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.
“FIB juga akan menilai semula status lesen kelab tersebut jika tidak mematuhi tarikh akhir kedua pembayaran tunggakan gaji serta tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing dalam musim Liga Malaysia yang akan datang.”
KL City baharu sahaja mengalami perubahan pengurusan peringkat tertinggi dan -penaung KL City, Fahmi Fadzil telah tampil menyatakan untuk menyelesaikan urusan gaji tertunggak dengan segera.
Selain itu, FIB juga telah menerima surat rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersetuju menyalurkan sumbangan bagi menyelesaikan bayaran tunggakan gaji KL City sebelum akhir Mac 2024.
Manakala bagi KDA FC, kelab itu telah menyerahkan bukti pembayaran sejumlah RM 600,000 sebagai bayaran sebahagian tunggakan gaji semasa bagaimanapun ia tidak mematuhi bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji seperti ditetapkan FIB.
Namun begitu, FIB telah menerima bukti kewangan sumber dana yang akan diterima KDA FC dalam masa terdekat.