MFL menerima dokumen dari Kelantan berhubung pembayaran tunggakan gaji, tertakluk kepada semakan FIB.
Ini selepas status Lesen Kebangsaan bagi Kelantan ditangguhkan sehingga Disember 2023.
Perkara itu disahkan oleh Unit Pelesenan Kelab MFL yang telah menerima dokumen berkenaan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai Kelantan semalam.
“Bagaimanapun segala dokumen berkenaan pembayaran melibatkan 30 pemain dan pegawai Kelantan itu kini dalam proses semakan oleh FIB,” kata MFL dalam kenyataan.
Menurutnya, pengesahan pembayaran perlu dilakukan oleh FIB dengan semua pihak yang terlibat.
“Ini termasuk merujuk perkara itu dengan PFAM sebelum membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai status permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan bagi saingan Liga Super 2024-2025.”
Walaupun Kelantan tidak memiliki rekod tunggakan gaji pemain dan pegawai pada 30 Jun namun didapati memiliki tunggakan gaji di dalam deklarasi 31 Ogos.
Sebagai langkah pertama, FIB mengarahkan Kelantan untuk menyelesaikan bayaran tunggakan atau menyerahkan persetujuan bersama pemain dan pegawai pada 15 November 2023.
Namun setelah tarikh akhir 15 November 2023, pihak FIB tidak menerima sebarang bukti bayaran ataupun persetujuan bersama permain dan pegawai sebaliknya hanya menerima rayuan lanjutan masa.
Hukuman pertama yang dikenakan kepada Kelantan adalah denda sebanyak RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB.
Pihak FIB memberikan peluang terakhir sehingga 30 November untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab.
Sekiranya Kelantan telah menyelesaikan langkah pertama, Kelantan masih perlu menyelesaikan langkah kedua untuk menerima Lesen Kebangsaan.
Namun, jika gagal di peringkat langkah pertama, Kelantan secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025.
FIB juga mengambil keputusan untuk memberikan hukuman kedua kepada Kelantan dengan sekatan perpindahan MFL sehingga semua kes tempatan dan asing diselesaikan sepenuhnya.
Kelantan perlu menghantar surat deklarasi yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November beserta penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember 2023.