Liga Super Malaysia Berita

20 pengadil terlibat latihan VAR fasa ketiga sebagai persiapan Liga Malaysia musim 2024

Seramai 20 Pengadil, 21 Penolong Pengadil dan 14 ‘Replay Operator’ terlibat dalam latihan VAR fasa ketiga sebagai persiapan untuk Liga Malaysia musim 2024.

Ia telah bermula sejak 20 November lalu dan akan tamat pada 4 Disember 2023 dan sebanyak 5 kamera digunakan dalam Latihan VAR perlawanan praktikal ini dan ia menepati kriteria yang ditetapkan oleh FIFA.

Latihan VAR fasa ketiga ini dikendalikan oleh enam instruktur FAM diketuai oleh C. Ravichandran, Kassim Kadir Bacha, Abdul Basith Shahul Hamid, Nagor Amir Noor Mohamed, Mohd Sabri Mat Daud dan M. Sivanesan dan keenam-enam instruktur ini melakukan pemantauan dengan pengiktirafan dari FIFA.

Bermula 29 November hingga 4 Disember 2023, latihan VAR fasa ketiga ini akan disertai oleh seorang instruktur VAR FIFA, Igor Radojcic dari Serbia.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang melakukan tinjauan tersebut di FAM, Kelana Jaya.

Tinjauan tersebut turut dihadiri oleh Datuk S. Sivasundaram, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM dan C. Ravichandran sebagai Ketua Projek VAR bagi melihat sendiri bagaimana proses latihan kali ini yang tertumpu kepada perlawanan praktikal.

“Terdapat pengadil juga di tempat operasi VAR di mana saya ada dengar sendiri bagaimana percakapan pengadil di padang dan juga pengadil di tempat operasi ini untuk lihat mereka berkomunikasi dan sebagainya.

“Pengadil-pengadil yang mengendalikan daripada di luar dan juga di tempat operasi telah memahami dengan baik proses ini dan selepas itu saya ada ke padang juga untuk melihat perlawanan praktikal pemain daripada pasukan ATM.

“Perkembangan dan perjalanan latihan ini berjalan dengan lancar dan kita harapkan para pengadil akan dapat menajamkan lagi kefahaman mereka dalam mengendalikan VAR pada musim akan datang.”

Latihan fasa ke-3 adalah fasa yang sangat penting kerana fasa ini memberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi VAR dalam perlawanan.

Semua rakaman video yang melibatkan setiap pengadil, penolong pengadil dan ‘Replay Operator’ wajib di hantar ke FIFA.