Liga Super Malaysia Berita

Pasukan Liga Super wajib ada pasukan Piala Presiden, Piala Belia mulai 2024

Mulai 2024, semua pasukan Liga Super diwajibkan menyertai Piala Presiden dan Piala Belia bagi musim depan.

Ini bermakna semua pasukan perlu menghantar pasukan untuk menyertai liga B-20 dan liga B-18.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin.

“Jawatankuasa Eksekutif bersetuju Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2024 disertai oleh 14 pasukan kelab dalam Liga Super Malaysia 2024 dan semua Pasukan Utama dalam pertandingan Liga Super Malaysia 2024 diwajibkan menghantar pasukan Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18).”

Piala Presiden 2024 dijadualkan bermula pada Februari hingga Ogos 2024 manakala Piala Belia 2024 akan dimulakan pada April hingga September 2024 disebabkan bertembung dengan kalendar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM turut bersetuju untuk melancarkan Pelan Kedua Tindakan Strategik F:30 2023-2026 yang dijadualkan pada Sabtu ini, 11 November 2023.

Pelan Kedua Tindakan Strategik F:30 2023-2026 memfokuskan untuk menguasai ASEAN dan mencabar Asia dalam bola sepak.