Malaysia Berita

Jualan tiket Malaysia lawan Kyrgyzstan akan disumbangkan kepada Palestin

RM2 daripada setiap jualan tiket Malaysia lawan Kyrgyzstan pada kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Khamis ini akan disumbangkan ke tabung Palestin.

Ini setelah Jawatankuasa Eksekutif FAM menetapkan harga RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

“Ia sebagai tanda soladiriti dan membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang sedang berdepan konflik di Gaza ketika ini,” kata kenyataan rasmi FAM.

Sementara itu, RM1 daripada setiap jualan tiket untuk kesemua kategori bagi perlawanan itu juga akan disumbangkan ke tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya seperti mana yang telah dilaksanakan oleh FAM bermula dari perlawanan menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac lalu.

Penjualan tiket bagi perlawanan menentang Kyrgyzstan dibuat sepenuhnya secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula esok (Selasa, 7 November 2023) sehingga ke hari perlawanan (Khamis, 16 November 2023).

Tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium atau mana-mana premis.

Penetapan harga-harga tiket tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan semasa kos-kos berkaitan iaitu melibatkan kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

Selain itu, penetapan harga RM40 bagi Kategori Terbuka adalah berdasarkan taraf perlawanan ini iaitu perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang pastinya berbeza dengan harga tiket perlawanan tiket antarabangsa iaitu RM30 bagi Kategori Terbuka.