Tandukan penyerang import Terengganu, Adisak Kraisorn pada masa kecederaan membolehkan pasukan itu mengikat Stallion Laguna 2-2, sekali gus mengutip satu mata pada aksi Kumpulan G saingan Piala AFC hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terenganu, pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah apabila membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Griffin McDaniel yang memperoleh sepakan percuma.
Pada minit ke-40 kubu skuad Penyu sekali lagi dibolosi Stallion Laguna hasil penyudah Ngong Sam Stephen untuk meletakkan kelab Filipina itu selesa mendahului 2-0.
Bagaimanapun, pada masa tambahan babak pertama Terengganu berjaya merapatkan kedudukan selepas seorang lagi tonggak import, Sony Norde menolak masuk bola hantaran Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob, sekali gus menceriakan lebih 2,000 penyokong tuan rumah.
Adisak kemudian menanduk bola hantaran Norde pada minit ke-91 untuk menjadikan kedudukan seri 2-2 hingga akhir perlawanan.
Dalam pada itu, satu lagi aksi Kumpulan G menyaksikan Central Coast Mariners membelasah Bali United 6-3 yang berlangsung di Stadium Central Coast, Australia.