Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Kualiti skuad Harimau Malaya semakin meningkat, keyakinan pemain semakin tinggi

Jurulatih negara, Kim Pan-gon menyifatkan kemenangan besar 10-0 ke atas Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi menunjukkan kualiti pasukan negara semakin meningkat ketika ini.

Ini setelah Arif Aiman menjaringkan 4 gol, Paulo Josue sumbang hatrik manakala Faisal Halim, Daniel Ting dan Safawi Rasid turut menyumbang gol dalam perlawanan itu.

“Mereka (pemain) sentiasa mencuba meningkatkan kualiti permainan,” kata Pan-gon selepas perlawanan.

“Sangat penting untuk melihat mereka berada dalam tekanan kerana kami (barisan kejurulatihan) datang ke sini untuk mengubah bola sepak Malaysia menjadi positif, dominan dan proaktif.

“Jadi, bagi saya, saya gembira tetapi ini bukanlah penamat kempen, hanya satu perlawanan … namun bola sepak seperti ini yang kami mahu bermain menentang pasukan kuat dan itulah sasaran kami.”

Pan-gon juga berpandangan, tahap keyakinan pemain semakin meningkat dalam setiap perlawanan sejak beliau mengambil alih pasukan pada Januari tahun lalu.

“Seperti pada separuh masa kedua, ia bukan sesuatu yang boleh saya ajar. Ia hadir secara semula jadi daripada pemain, ia datang dari lubuk hati mereka … saya rasa tahap keyakinan mereka sudah bertambah baik.

“Pada satu setengah tahun yang lepas, mereka cuba untuk memahami model permainan dan pendekatan taktikal kami. Kami berikan banyak maklumat kepada pemain, saya dapat lihat mereka sangat bijak dan saya bangga dengan mereka.”

Sementara itu, ketua jurulatih Papua New Guinea, Harrison Kamake mengakui terkejut dengan kekalahan besar itu serta menyifatkan kegagalan pasukannya untuk mematuhi arahan menjadi punca mereka dibolosi 9 gol pada separuh masa kedua.

“(Perlawanan) ini sukar buat pemain saya, ternyata Malaysia pasukan yang lebih baik, kredit penuh diberikan kepada mereka.”