Malaysia melengkapkan kalendar FIFA bulan ini dengan bergaya apabila menewaskan Hong Kong 2-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Ia kemenangan kedua skuad bimbingan Kim Pan-gon selepas mengatasi Turkmenistan 1-0 minggu lalu.
Pan-gon membuat 4 pertukaran dalam kesebelasan utama apabila menurunkan Shahrul Mohd Saad dan Quentin Cheng di bahagian pertahanan, manakala Nooa Laine dan Azam Azih di bahagian tengah.
Dihadiri 4,593 penonton, pasukan negara bermula perlahan dan bergelut mencari rentak permainan hampir dibolosi seawal minit keempat, selepas tandukan pemain pertahanan Hong Kong, Vasudeva Nunez berpunca sepakan penjuru menggegar tiang.
Hong Kong tersentak pada minit ke-18, apabila kesilapan pemainnya Li Ngai Hoi berdekatan kotak penalti membawa padah selepas Faisal Halim berjaya merampas bola dan melorongkan kepada Akhyar Rashid yang tenang meledak gol pembukaan pasukan.
Salah faham antara dua pemain pertahanan negara Dion Cools dan Quentin Cheng pada minit ke-34 hampir membawa padah apabila Poon Pui Hin berjaya memintas bola dan memecut ke arah gawang, namun penyudahnya gagal menemui sasaran tatkala hanya berdepan Syihan Hazmi di gawang.
Jaringan kedua pasukan negara hadir pada minit ke-41 menerusi gerakan menarik berpunca hantaran jauh Ahmad Syihan yang disambar Darren Lok sebelum melorongkan bola kepada Faisal yang menggelecek pemain pertahanan lawan, sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kiri.
Malaysia terus mengekalkan permainan menyerang di babak kedua, namun Faisal terlepas peluang keemasan untuk membawa pulang gol peribadi keduanya apabila rembatannya dalam kotak penalti tersasar pada minit ke-55.
Peluang terbaik Hong Kong untuk meledak gol pertamanya hadir enam minit kemudian, selepas pemain gantian Philip Chan yang menerima hantaran cantik Law Tsz Chun gagal melepaskan rembatan tepat ke arah gawang.
Malaysia memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan di penghujung perlawanan, namun keputusan kekal 2-0 hingga tamat perlawanan.
Ini juga kemenangan kedua berturut-turut Malaysia berdepan Hong Kong, selepas turut mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Jun tahun lalu.