Malaysia Berita

Endrick, Arif Aiman terlepas aksi Malaysia lawan Hong Kong

Arif Aiman Mohd Hanapi dan Endrick Dos Santos meninggalkan kem latihan pusat skuad Harimau Malaya hari ini.

Ini bermakna, mereka tidak akan beraksi dalam perlawanan menentang Hong Kong pada Selasa ini.

“Mereka telah dilepaskan keluar selepas ujian yang dibuat mengesahkan kedua-dua itu mengalami kecederaan,” kata jurulatih negara, Kim Pan-gon.

“Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk perlawanan antarabangsa menentang Hong Kong pada Selasa, 28 Mac 2023.”

Beliau menjelaskan, pegawai dan pasukan perubatan FAM sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemainnya.

“Kami telah bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick ​​dari kem latihan pusat ini supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

“Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu.“