Piala Malaysia Berita

Piala Malaysia 2022 diadakan tanpa peringkat kumpulan

Buat pertama kalinya, Piala Malaysia musim 2022 akan diadakan tanpa aksi peringkat kumpulan.

Ini bermakna semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan.

Format Piala Malaysia 2022 akan menampilkan perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik diadakan secara timbal balik disusuli suku akhir (timbal balik) dan perlawanan separuh akhir (timbal balik).

Final Piala Malaysia akan berlangsung di venue neutral pada 26 November 2022.

MFL membuat keputusan itu selepas mengambil kira beberapa faktor.

“Khususnya kepadatan kalendar semasa dan impak kepada Piala Malaysia,” kata MFL dalam kenyataan.

“Dengan ramalan cuaca yang membimbangkan menjelang akhir tahun, ia tidak akan memberi MFL sebarang ruang untuk penangguhan sekiranya diperlukan.

“Justeru, ketiadaan perlawanan di peringkat kumpulan dapat memberikan ruang dan masa kepada kelab-kelab dan juga MFL yang sekali gus mengimbangi kualiti salah satu kejohanan paling tertua di Asia itu serta dan memastikan pencegahan kecederaan pemain.”

MFL turut memaklumkan, mesyuarat telah diadakan bersama Jabatan Meteorologi yang memaklumkan bahawa akan berlaku hujan lebat pada bulan Oktober sehingga Disember 2022.

Katanya, kerajaan juga mengeluarkan peringatan bahawa akan berlaku fenomena air pasang besar yang akan menyebabkan berlakunya banjir di hampir seluruh negeri di Malaysia pada bulan-bulan yang akan datang.

“Jadual Liga Malaysia 2022 amat padat akibat penundaan beberapa perlawanan yang tidak dapat dielakkan pada awal musim 2022 disebabkan penularan Covid-19 dalam beberapa pasukan dan juga kejohanan-kejohanan penting pasukan pasukan kebangsaan.

“Sehubungan itu, format Piala Malaysia 2022 akan dimainkan bermula daripada pusingan 16 pasukan secara timbal balik sekali gus tiada perlawanan peringkat kumpulan pada tahun ini.”

Kata MFL, sekiranya perlawanan tidak dapat diadakan akibat perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan terutamanya faktor cuaca, ia membolehkan perlawanan yang tidak dapat diadakan terus dimainkan pada keesokan hari atau pada mana-mana tarikh yang dirasakan sesuai.

Keputusan itu turut mengambil kira faktor kebanyakan kontrak pemain-pemain bakal berakhir pada penghujung November 2022 sekiranya masih berlaku penundaan perlawanan Piala Malaysia.

Pada masa sama, sekiranya Kuala Lumpur City layak ke final Piala AFC, Piala Malaysia akan membuka tirai bermula 25 dan 26 Oktober 2022.

Sekiranya KL City tidak layak, Piala Malaysia bakal membuka tirai bermula 21 dan 22 Oktober 2022.