Selangor bangkit dari ketinggalan apabila berjaya mengikat Johor Darul Ta’zim 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Kelana Jaya.
Ini menjadikan Selangor sebagai pasukan ketiga yang mencatatkan keputusan seri menentang JDT musim ini selepas Pahang dan Melaka United.
JDT mendahului menerusi Bergson yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-33.
Ia merupakan gol ke-21 buat penyerang dari Brazil itu dalam Liga Super musim ini.
Namun, kelekaan pertahanan JDT membawa padah apabila penyerang Selangor, Caion mudah melepasi barisan pertahanan lawan sebelum merembat masuk gol penyamaan pada minit ke-64.
Malah, dalam tempoh 20 minit terakhir, Selangor beberapa kali berpeluang untuk menjaringkan gol kemenangan namun gagal menemui penyudah.
Keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan, menyaksikan Selangor kekal di tangga ke-8 dengan 17 mata selepas 16 perlawanan.
JDT pula terus mendahului liga dengan 42 mata selepas 16 perlawanan, beza 6 mata di belakang Sabah.