Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Malaysia masih ada peluang, tetapi tidak boleh buat silap lagi

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon mengakui beliau tidak terlalu kecewa dengan kekalahan Malaysia kepada Bahrain akibat kesilapan individu.

Ini kerana, beliau menganggap sebarang kesilapan yang dilakukan para pemain masih boleh diperbaiki.

“Perlawanan kali ini dipengaruhi banyak faktor,” kata Pan-gon dalam sidang media selepas perlawanan.

“Dengan hujan, permukaan menjadi tidak baik untuk kedua-dua pasukan, sukar untuk mempamerkan aksi yang baik.

“Tetapi dalam situasi ini sekali pun, pemain kita sudah bermain dengan baik.

“Sudah tentu ada kesilapan yang boleh diperbaiki dan ini bukanlah masalah paling besar untuk kita. Kita belajar dari kesilapan.

“Memang penting untuk dapatkan setiap mata. Pada mulanya kita jaringkan gol, boleh dapat 3 mata, boleh mendahului kumpulan di tangga teratas, tetapi apakan daya.”

Bagaimanapun, katanya, Malaysia perlu lupakan aksi Bahrain dan menumpukan kepada misi mendapatkan 3 mata ke atas Bangladesh.

“Pemain perlu percepatkan proses pemulihan dan fokus perlawanan seterusnya. Sangat penting, kita perlu dapat 3 mata untuk berada di tangga ke-2 dalam peringkat kumpulan.

“Apa yang akan berlaku dalam perlawanan seterusnya, kita tak tahu. Perlawanan antara Bahrain dan Turkmenistan pun. Kalau kita bermain baik, kita masih ada peluang.”

Disebalik kata-kata positif itu, Pan-gon tidak mahu lagi melihat Malaysia kehilangan mata hanya kerana kesilapan tertentu.

“Kita belajar dari kesilapan, langkah demi langkah, kita akan mempelajari daripadanya.

“Tetapi perlu pastikan kita tidak kehilangan peluang untuk layak ke Piala Asia, pemain tahu, mereka tahu betapa pentingnya perlawanan seterusnya.”

Malaysia akan bertemu Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.