Malaysia Berita

De Paula jaringkan gol, Malaysia menang besar ke atas Brunei

Malaysia mencatatkan kemenangan pertama tahun ini apabila menewaskan Brunei 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Guilherme De Paula menamatkan kemarau gol apabila menjaringkan gol kedua untuk Malaysia, selepas menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Vietnam pada kelayakan Piala Dunia, Jun tahun lalu.

Kim Pan-gon membuat kejutan apabila menggunakan formasi 3-4-3, dengan meletakkan tiga pemain pertahanan yang terdiri daripada Dion Cools, Junior Eldstal, Khuzaimi Piee sementara Syahmi Safari dan V Ruventhiran memainkan peranan di bahagian sayap.

Safiq Rahim dan Syamer Kutty Abba merupakan enjin pasukan manakala Faisal Halim dan Mohamadou Sumareh bergerak bersama Syafiq Ahmad di bahagian serangan.

Harimau Malaya mendahului menerusi Syafiq Ahmad yang menanduk masuk sepakan penjuru V Ruventhiran pada minit ke-16.

Syamer Kutty Abba menjaringkan gol kedua hasil hantaran Faisal Halim seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Faisal kemudian menjaringkan gol ketiga hasil hantaran Guilherme de Paula pada minit ke-58.

De Paula melengkapkan kemenangan dengan jaringan pada minit ke-83 hasil sepakan penalti.

Malaysia akan bertemu Hong Kong dalam perlawanan persahabatan pada 1 Jun ini.