Liga Super Malaysia Berita

Mora: Pengadil yang bagi penalti, saya hormati keputusan pengadil

Benjamin Mora menyifatkan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT sehingga berjaya meraih keputusan seri 2-2 dengan Pahang adalah sesuatu yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Ini selepas Bergson dijatuhkan dalam kotak penalti, 5 minit sebelum perlawanan berakhir di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

“Itu penalti kan,” kata Mora dalam sidang media selepas perlawanan.

“Pengadil yang bunyikan wisel, berikan penalti.

“Saya tak tahu kalau kami patut dapat atau tidak, bukan hak saya untuk adili perlawanan ini.

“Kita dalam keadaan menyerang di separuh masa kedua, kita masuk dalam kotak penalti, membawa bola, menghasilkan sepakan, membuat hantaran, jadi mungkin (penalti) ia boleh berlaku.

“Ia berlaku pada pasukan-pasukan lain, sekarang ia berlaku kepada kita.

“Saya kena tengok dulu penalti yang kita peroleh, kemudian saya akan tengok penalti yang mereka (Pahang) peroleh…barulah saya akan putuskan mana yang betul dan mana yang tidak.

“Tetapi kalau pengadil sudah memberikan penalti, ia adalah penalti. Kita hormati tugas pengadil.”

Bagaimanapun, jurulatih Pahang, Christophe Gamel mengakui tidak begitu terkejut dengan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti.

“Sejak saya berada di sini, saya sudah nampak macam-macam keputusan kontroversi.

“Sejak awal musim lagi, jadi saya sekarang dah biasa, saya tidak terkejut dan sejujurnya tiada apa yang saya nak cakap mengenainya.

“Apa yang penting, kita beraksi dengan sejumlah pemain muda, yang tidak banyak pengalaman, tetapi mereka ikut game plan.

“Kita hanya 5 minit sahaja lagi untuk berada pada kemuncak kegembiraan (super top happiness), tetapi Tuhan putuskan sebaliknya.

“Tetapi saya bangga dengan para pemain, mereka beraksi seperti yang saya mahukan.

“Kita tidak boleh hilang mata, jadi kita berusaha keras untuk dapatkan mata, jadi kali ini ia adalah mata berharga buat kita.”