UEFA Champions League Berita

UCL2022: Real Madrid jaringkan 3 gol saat akhir, jumpa Liverpool di final buat kali ketiga

Real Madrid mara ke Champions League final apabila meraih kemenangan dramatik 3-1 ke atas Manchester City dengan agregat 6-5 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Santiago Bernabeu malam tadi.

Ini bermakna, pasukan gergasi Sepanyol itu akan bertemu dengan Liverpool selepas dua kali bertemu pada 1981 (Liverpool menang) dan 2018 (Real Madrid menang).

Selepas buntu di separuh masa pertama, Real ketinggalan apabila pemain sayap City, Riyad Mahrez menjaringkan gol dari sudut sukar menewaskan Thibaut Courtois pada minit ke-73.

Dengan perlawanan menuju minit akhir perlawanan, Man City dikejutkan dengan gol Rodrygo hasil hantaran Karim Benzema.

Seminit kemudian, Rodrygo sekali lagi menjaringkan gol menerusi tandukan, sekali gus menyamakan kedudukan agregat 5-5, memaksa perlawanan memasuki masa tambahan.

Namun, apabila masa tambahan yang baru memasuki minit ke-5, Real dihadiahkan sepakan penalti setelah Benzema dijatuhkan oleh Ruben Dias dalam kotak penalti.

Benzema mudah menyempurnakan sepakan itu, menjadikan kedudukan agregat 6-5.

Kedudukan itu kekal hingga minit ke-120 sekali gus Real mara ke final.

“Luar biasa,” kata Casemiro kepada Movistar Plus selepas perlawanan.

“Tiada perasaan yang lebih baik, tiada cara untuk menjelaskan perkara ini, betapa sukarnya untuk sampai ke sini. Yang terbaik masih belum kami pamerkan, tetapi kami perlu menikmati saat ini… Kami berada di final tetapi yang paling sukar belum kami hadapi.

“Kelab ini tidak pernah berputus asa, berjuang hingga ke akhirnya.”

“Pasukan ini, kelab ini mampu melakukan apa sahaja, kami percaya sehingga akhir,” kata Courtois.

“Mendy keluarkan bola dari garisan, saya juga melakukannya, kami menjadikan kedudukan 1-1 dan kemudian 2-1 dan mereka mati. Kami lebih baik pada masa tambahan. Kami perlu bertahan dengan baik dan kami melakukannya. Luar biasa.”

“Kami hampir. Kami hampir. Tetapi akhirnya kami tidak dapat mencapainya,” kata Guardiola kepada BT Sport.

“Kami tidak bermain yang terbaik, tetapi ia adalah perkara biasa, separuh akhir, pemain merasakan tekanan. Bola sepak tidak dapat diramalkan, ia adalah permainan seperti ini. Kami perlu menerimanya.”

Real mara ke final buat kali ke-17 dalam sejarah Champions League, selepas memenanginya sebanyak 13 kali.