Berita AFC Champions League

ACL2022: Bergson muncul wira, jaringkan gol kemenangan JDT tewaskan Ulsan Hyundai

Johor Darul Ta’zim mencipta kejutan apabila menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam perlawanan kedua Liga Juara-Juara Asia yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Bergson muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan, 10 minit sebelum perlawanan berakhir.

Harimau Selatan mendahului seawal minit ke-3 hasil rembatan kencang Fernando Forestieri dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gawang Jo Hyeon-woo.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama, menyaksikan JDT berjaya mengekang segala percubaan Ulsan.

Bagaimanapun, Ulsan menyamakan kedudukan pada minit ke-52 menerusi Um Won-sang yang menyempurnakan hantaran daripada Seol Young-woo.

Ketika perlawanan menuju ke 10 minit terakhir, Bergson berjaya menyempurnakan hantaran Safawi Rasid pada minit ke-79.

Ia menjadikan kedudukan 2-1 dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

JDT kini mendahului Kumpulan I dengan 6 mata, diikuti Kawasaki Frontale dengan 4 mata selepas kelab dari Jepun itu membelasah Guangzhou FC 8-0 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos.

JDT akan bertemu Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 April ini manakala Ulsan akan menentang Guangzhou FC di Larkin.