Berita AFC Champions League

ACL2022: JDT menang besar, belasah Guangzhou FC 5-0

Bulan Ramadan tidak menghalang Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan besar apabila membelasah juara dua kali AFC Champions League, Guangzhou FC 5-0 dalam perlawanan pembukaan saingan Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva muncul pemain paling menyerlah apabila menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu.

Skuad Harimau Selatan mendahului seawal minit ke-10 menerusi tandukan Bergson yang memanfaatkan hantaran lintang Shane Lowry.

Tiga minit kemudian, kesilapan Chen Zhengfeng menangkap bola di atas garisan selepas menepis rembatan Fernando Forestieri mengundang padah apabila bola terlepas dari genggamannya lalu masuk ke gawang untuk memberikan kedudukan selesa kepada JDT.

Bergson memastikan JDT menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan selesa selepas merembat bola menewaskan penjaga gol lawan untuk menambah gol ketiga pasukan dan kedua peribadinya pada minit ke-27.

Bergson tidak menunggu lama pada separuh masa kedua untuk melengkapkan jaringan hatriknya apabila menyudahkan hantaran lintang La’vere Corbin-Ong menerusi tandukan pada minit ke-52 sekali gus menjadikan kedudukan 4-0.

Nasib Guangzhou FC bertambah buruk apabila pemain pertahanannya Guan Haojin dilayangkan kad merah setelah mengasari Bergson pada minit ke-69.

JDT melengkapkan kemenangan menerusi rembatan Ramadhan Saifullah pada minit ke-81.

JDT kini mendahului Kumpulan I dengan mengumpul tiga mata sementara Kawasaki Frontale dan kelab Korea Selatan Ulsan Hyundai berkongsi satu mata di kedudukan kedua dan ketiga selepas terikat 1-1 pada satu lagi aksi, manakala Guangzhou FC tercorot tanpa sebarang mata.

JDT akan bertemu kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai bagi perlawanan kedua peringkat kumpulan Isnin ini.