Liga Super Malaysia Berita

MFL cadang mulakan perlawanan Liga Malaysia 2022 pada 8.15 malam

MFL berhasrat untuk memulakan beberapa perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2022 pada 8.15 malam, berbanding 8.45 malam seperti musim-musim sebelum ini.

CEO MFL, Stuart Ramalingam berkata, pembaharuan itu dibuat atas beberapa faktor termasuklah meningkatkan nilai komersial liga dan menarik lebih ramai penyokong untuk hadir ke stadium.

“Jadi, tahun ini kita mungkin ada tiga sepak mula yang berbeza,” katanya dalam sidang media hari ini.

“Di Semenanjung, ada perlawanan pukul 8.15 malam, 9 malam dan bulan Ramadan pada 10 malam, manakala perlawanan di Sabah dan Sarawak diadakan pada pukul 7.30 malam, 8.15 malam dan bulan Ramadan pukul 9.15 malam.

“Ini untuk memastikan adanya komersialisasi dan menambah baik pengalaman peminat ketika menyaksikan perlawanan.

“Berdasarkan kajian yang dibuat, apabila lebih awal perlawanan diadakan, ia membuka peluang lebih besar kepada pelbagai jenis peminat untuk membawa anak-anak mereka dan keluarga ke stadium.

“Malah, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, biasanya lepas habis perlawanan, kedai makan dan perkhidmatan lain ditutup dengan lebih awal.

“Jadi, dengan sepak mula yang baharu ini, kita boleh merasai satu hari itu hari bola sepak, beri peluang kepada peminat dan kelab untuk menjana pendapatan lebih banyak ketika hari perlawanan. Ini pembaharuan yang kita mahu maklumkan.

“Kita akan kongsikan butiran tempoh sepak mula nanti, apabila pihak penyiar memberikan jadual kepada kita, waktu untuk menyiarkan perlawanan.

“Kita akan maklumkan pada 1 Februari ini, selepas berunding dengan pihak penyiar dan mendapat maklum balas daripada pasukan-pasukan bertanding.”