Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin tampil memberikan sokongan penuh kepada Datuk Hamidin Mohd Amin.
Ini meskipun wujud desakan pihak tertentu yang meminta beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM selepas skuad kebangsaan gagal mencapai sasaran ke final Piala Suzuki AFF 2020, menyaksikan Tan Cheng Hoe meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.
“Kredibiliti Hamidin sebenarnya tidak perlu dipertikai lagi,” katanya kepada Berita Harian.
“Di peringkat antarabangsa, beliau mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai Naib Presiden AFF pada Mac 2019, sebelum melepaskan jawatan itu kerana mahu memberi fokus selepas dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023, sebulan kemudian.
“Malah ketika Peta Hala Tuju FAM F:30 dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2018, kita dapat lihat yang Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut sama hadir, sekali gus menandakan hubungan antarabangsa dimiliki Hamidin cukup baik dan ia diperlukan dalam usaha kita untuk membangunkan serta memajukan bola sepak Malaysia.
“Takkan hanya kerana skuad Harimau Malaya gagal di Piala Suzuki AFF 2020, kita semua mahu mendesak supaya beliau letak jawatan?
“Sedangkan baru saja pada Oktober lalu, skuad B-22 kendalian Brad Maloney berjaya layak selaku 16 pasukan terbaik ke Piala Asia B-23 2022. Adakah ketika itu FAM dipimpin oleh presiden lain?
“Begitu juga ketika skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 dan pada prestasi terbaik meraih kemenangan ke atas Thailand dan Indonesia pada November 2019 dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, siapa Presiden FAM ketika itu? Masih Hamidin juga.
“Sudah tentu Hamidin memiliki kredibiliti yang diperlukan sebagai seorang presiden dan tidak timbul yang FAM kini dipimpin oleh individu yang tak reti pasal bola kerana beliau seorang yang berpengalaman luas, 30 tahun dalam bola sepak dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.”
Justeru, beliau berpendapat, desakan terhadap Hamidin adalah tidak wajar.
“Beliau masih relevan dan biarlah beliau meneruskan mandat yang diberi oleh ahli gabungan FAM untuk tempoh penggal yang ditetapkan iaitu dari 2021 hingga 2025 ini.”
Pada masa sama, beliau berkata, peletakan jawatan Hamidin tidak akan menyelesaikan masalah yang membelenggu FAM ketika ini.
“Kalau Hamidin letak jawatan sekarang, adakah ia akan selesaikan masalah? Siapa pula pengganti segera yang sesuai? Peminat perlu fikirkan semua itu, jangan hanya terlalu ikutkan perasaan kerana marah terhadap kegagalan skuad Harimau Malaya tempoh hari.
“FAM juga akan memulakan pembinaan ibu pejabat baharu dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya pada tahun ini yang mana sebenarnya projek ini sudah lama kita dengar sejak bertahun sebelum ini dan dari presiden-presiden terdahulu lagi. Nampaknya atas usaha keras Hamidin, ia akhirnya terlaksana juga ketika era beliau sebagai Presiden FAM ketika ini.
“Boleh dikatakan dalam tempoh singkat sebenarnya iaitu sejak beliau menjadi Presiden FAM pada Julai 2018 dan ditolak dengan gangguan pandemik COVID-19 selama dua tahun pada 2020 dan 2021, saya kira Hamidin sudah cuba melakukan yang terbaik.”
Pencapaian skuad negara semua kategori di bawah pentadbiran Hamidin
-Naib juara Piala Suzuki AFF 2018
-Juara B-19 AFF 2018
-Tempat ke-3 B-16 AFF 2018
-Naib juara Futsal AFF 2018
-Naib juara Bola Sepak Pantai AFF 2018
-Suku akhir Bola Sepak Pantai AFC 2019
-Naib juara B-18 AFF 2019
-Layak Pusingan Akhir B-19 AFC 2020
-Peningkatan 13 anak tangga dalam ranking FIFA dari 167 ke 154