Malaysia Berita

Inisiatif FAM sepanjang dua tahun di bawah pentadbiran Hamidin

Hari ini genap dua tahun Datuk Hamidin Mohd Amin memegang jawatan sebagai Presiden FAM.

Sepanjang tempoh itu, FAM memperkenalkan pelbagai inisiatif sekaligus menunjukkan bahawa Hamidin serius mahu meningkatkan mutu bola sepak negara.

Hamidin memulakan tugasnya dengan memperkenalkan Misi dan Visi FAM iaitu Peta Hala Tuju F:30 pada 31 Oktober 2018.

Ini diikuti dengan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 pada 17 Februari 2019.

Sebuah piagam akar umbi turut diperkenalkan iaitu Piagam Suparimau FAM pada 4 Mei 2019 dan DNA Bola Sepak Malaysia atau Cara Malaysia pada 9 Julai 2019.

Menurut kenyataan FAM, kesemua elemen tersebut diperkenalkan bagi memastikan pembangunan bola sepak dari segi tadbir urus di peringkat kebangsaan dan negeri serta kelab, kemajuan teknikal dan akar umbi serta pembangunan futsal berada di landasan yang betul ke arah merealisasikan F:30.

“Wabak COVID-19 memperlahankan proses sedia ada tetapi di bawah Datuk Haji Hamidin, FAM yakin akan memulihkan semula keadaan untuk memastikan perencanaan ke arah F:30 bergerak di landasan yang betul,” menurut kenyataan itu.

Berikut merupakan inisiatif FAM dibawah kendalian Hamidin:

Rumah Harimau Malaya – 15 Ogos 2019

FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), telah menandatangani satu perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2020 untuk menjadikan Stadium Nasional yang terletak di Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya bagi mana-mana pertandingan atau kejohanan rasmi. Stadium Nasional yang secara rasminya menjadi ‘Rumah Harimau Malaya.

Anugerah Dream Asia 30 Oktober 2019

FAM sekali lagi menerima anugerah Dream Asia AFC kategori Inspirasi (Gangsa) selepas memenanginya dalam kategori Pembangunan tahun 2018.

FAM memenangi Gangsa di belakang Persatuan Bolasepak China (Perak) dan Persatuan Bolasepak Jepun (Emas).

FAM-English FA 11 November 2019

FAM mengumumkan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Inggeris (EFA) melancarkan dua kempen Respect untuk musim 2019/20 untuk mendidik masyarakat bahawa hormat adalah sifat utama untuk membangunkan bola sepak.

Ramaikan pemain Malaysia berbangsa Cina 16 November 2019

FAM mengajak masyarakat Cina untuk menyemarakkan semula penyertaan mereka dalam bola sepak tempatan bagi menawarkan dimensi berbeza terhadap lanskap sedia ada.

Bercakap pada upacara penutup Hari Akar Umbi Bola Sepak Cina yang diadakan di SJK (C) Lai Meng di Bukit Jalil, Hamidin menggesa ibu bapa etnik Cina untuk menjadikan bola sepak sebagai satu opsyen kerjaya anak-anak mereka.

Dengan menjadikan Tan Cheng Hoe, Datuk Ong Kim Swee dan Chiew Chun Yong sebagai antara contoh individu berbangsa Cina yang menikmati kerjaya dalam bola sepak tempatan, Hamidin menegaskan bola sepak bukan milik satu-satu kaum, bahkan ia bersifat sejagat.

Program naturalisasi 3 Februari 2020

Program pengambilan pemain naturalisasi yang diilhamkan oleh Hamidin bagi memperkasakan lagi skuad kebangsaan, Harimau Malaya kini mengorak langkah yang seterusnya apabila Liridon Krasniqi, pemain tengah berasal dari Kosovo, secara rasminya telah pun menjadi warganegara Malaysia.

Projek pengadil profesional 11 Mac 2020

FAM mengumumkan pelancaran projek pengadil profesional yang dinamakan Malaysia Professional Referee System (MProRS) dengan enam orang pengadil kebangsaan telah disenarai pendek untuk menjadi perintis kepada projek berkenaan.

Hamidin berkata, MProRS membawa misi yang cukup besar iaitu untuk menjadikan pengadil dari Malaysia sebagai mercu tanda pengadilan Asia.

FAM-JFA: FAM menjalin kerjasama lebih kukuh dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) menerusi Perjanjian Persefahaman.

3 Pengadil Jepun Mengadili Perlawanan Akhir Piala FA 2019 (27 Julai 2019)

Takuto Okabe, pengadil berusia 38 tahun dari Jepun, dipilih mengadili Final Shopee Piala FA 2019, Perak lwn Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu (27 Julai 2019). Okabe dibantu oleh dua Penolong Pengadil yang juga dari Jepun iaitu Akane Yagi, 45, dan Osamu Nomura, 30.

Lawatan Perbincangan & Mesyuarat Dua Hala JFA-FAM (26 – 30 Ogos 2019)

FAM dan JFA mengadakan perbincangan dua hala selama lima hari bermula 26 Ogos di Tokyo bagi memenuhi ruang kerjasama berpandukan MoU yang ditandatangani di Pejabat Perdana Menteri, April 2019.

Delegasi FAM ke Jepun diketuai Hamidin, atas jemputan rakan sejawatannya di JFA, Kohzo Tashima.

Lawatan di JFA House ini membuka ruang pembangunan mengenai perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk kem latihan skuad kebangsaan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, pembangunan teknikal dan belia, pembangunan akar umbi, bola sepak wanita dan futsal serta jalinan hubungan kerajaan.

4 Pemain Muda Malaysia Jalani Latihan di Cerezo Osaka (3 – 13 September 2019)

Kerjasama itu dimeterai ketika delegasi FAM berkunjung ke Jepun dan empat pemain – Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari – menimba ilmu dengan Cerezo Osaka dari 3 hingga 13 September 2019.

Nama-nama tersebut dipilih berdasarkan prestasi pemain-pemain berkenaan yang sentiasa dipantau oleh FAM dengan kerjasama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 (Modul Ke-4) anjuran FAM di Cerezo Osaka, Osaka dan Omiya Ardija, Saitama (1 – 14 Oktober 2019)

Seramai 20 jurulatih telah menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 dengan modul keempat kursus ini berlangsung dari 1 hingga 14 Oktober 2019.

Modul kali ini melibatkan lawatan ke dua buah kelab di Jepun yang berpangkalan di Osaka dan Saitama iaitu Cerezo Osaka dan Omiya Ardija.

3 Pemain Muda Malaysia Jalani Latihan di FC Tokyo (8 – 18 Oktober 2019)

Selepas dua minggu di Osaka, Luqman Hakim Shamsudin sekali lagi ke Jepun iaitu ke JFA Academy dan FC Tokyo bersama dua pemain lain iaitu Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili.

Penempatan pemain berkenaan di negara matahari terbit ini bertujuan memberi pendedahan, pengalaman dan peluang untuk mereka membiasakan diri dengan corak latihan dan permainan, serta cara hidup di sana jika mereka terpilih atau berpeluang untuk beraksi di Liga Jepun pada masa akan datang.