Malaysia Berita

Hamidin: Laporan prestasi Harimau Malaya siap, badan siasatan bebas akan bedah siasat

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya dalam Piala AFF Suzuki 2020 telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

Justeru, katanya, sebuah badan siasatan bebas pasukan Harimau Malaya ditubuhkan bagi mengetuai bedah siasat laporan tersebut.

Katanya, bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan mengetuai badan siasatan bebas itu, yang turut dianggotai individu-individu di luar FAM.

“Datuk Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas ini terdiri daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Hasil bedah siasat akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar bersama langkah-langkah penambah baikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan.”

Pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.