Liga Super Malaysia Berita

MFL: Pandemik semasa punca jadual padat untuk Liga Malaysia dan skuad kebangsaan

CEO MFL, Stuart Ramalingam menyifatkan jadual Liga Malaysia bukan punca utama kegagalan skuad kebangsaan dalam Piala AFF Suzuki 2020.

Katanya, MFL sudah cuba sehabis baik bagi membantu persiapan skuad Tan Cheng Hoe ketika Liga Malaysia terkesan dengan COVID-19.

“Bukan jadual tempatan menjadi gangguan kepada pasukan kebangsaan,” katanya kepada Astro Arena.

“(Sebaliknya) Skuad kebangsaan dengan kuarantin mengganggu liga tempatan.

“Tetapi ia (melibatkan) kerjasama (antara) dua parti dalam industri bola sepak, sedikit tolak ansur diperlukan untuk liga dihentikan.

“Bukan dua minggu tetapi ia mengambil masa sebulan kerana kuarantin juga memakan masa.

Ia memerlukan kerjasama di antara MFL dan pasukan kebangsaan untuk menentukan jadual liga.

“Bukan senang (mengatur jadual) berikutan dua tahun pandemik melanda sepanjang 2020 dan 2021.

“Mungkin ada perdebatan tentang kekangan jadual. Tapi kita perlu realistik kerana sedang dalam pandemik selain perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ia adalah satu masalah yang membabitkan keadaan semasa.”