Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe percaya skuad kebangsaan Malaysia akan menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020, Ahad ini.
Ini memandangkan Malaysia perlu mencatatkan kemenangan untuk mara ke separuh akhir selepas Indonesia mencipta kejutan apabila mengikat juara bertahan Vietnam seri 0-0 sebelum ini.
“Indonesia bawa ramai pemain muda yang laju dan cukup bersemangat,” katanya kepada Harian Metro.
“Kepantasan mereka adalah aset utama disamping motivasi untuk bermain.
“Tetapi saya lihat pengalaman mungkin memihak skuad kita.
“Saya harap pemain kita bersedia dan fokus terutama ketika menyerap asakan Indonesia nanti. Kita kena kurangkan kesilapan apabila transisi dan jika kita dapat lakukannya, keputusan boleh berpihak kita.”
Pada masa sama, Cheng Hoe tidak kisah jika skuadnya tidak beraksi dengan baik, asalkan keputusan memihak kepadanya.
“Sudah tentu keputusan lagi penting daripada permainan bola sepak yang menarik. Ini perlawanan yang perlu kita menangi tak kiralah berapa pemain yang kita ada dan apa jua situasi yang kita hadapi ketika ini.
“Kalau kita tergesa-gesa ataupun bermain dalam tekanan, kita tidak akan boleh beraksi seperti mana yang kita mahukan. Apa yang penting pemain terus percaya pada kemampuan diri dan rakan sepasukan.
“Kita perlu terus bekerja lebih keras untuk memastikan kita dapat mencipta lebih banyak peluang bagi mendapatkan gol. Pertahanan juga perlu berhati-hati kerana mereka ada pemain yang sangat pantas dan perlu dihentikan daripada serangan balas pantas.
“Kelancaran bola ketika menyerang dan bertahan perlu lebih baik kerana selalunya kita dibolosi disebabkan kita ‘switch off’ dalam perlawanan.”
Cheng Hoe juga sedar Indonesia kemungkinan besar akan menggunakan taktik bertahan kerana mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke separuh akhir.
“Kita tahu Indonesia perlukan seri sahaja, jadi mungkin mereka akan main bertahan ataupun sebaliknya, kita tidak pasti. Apa yang pasti adalah kita perlu siapkan pasukan dengan persediaan terbaik bagi bertemu mereka.
“Kita perlu sentiasa menyesuaikan diri kerana kita tidak boleh jangkakan pasukan lawan. Mereka sangat menyerang dalam dua aksi pertama, jadi kita perlu jadi fleksibel dalam apa jua situasi.
“Kita akan turun dengan misi mendapatkan gol pada aksi ini.”