Liga Super Malaysia Berita

Baddrol Bakhtiar, Dominic Tan sertai Sabah

Dua pemain skuad kebangsaan, Baddrol Bakhtiar dan Dominic Tan telah diumumkan sebagai pemain baharu Sabah bagi musim 2022.

Ini bermakna, Baddrol meninggalkan Kedah buat pertama kali dalam karier profesionalnya setelah 16 tahun bersama pasukannya.

“Bermain untuk pasukan senior seawal usia 18 tahun dan menjadi tunggak penting pasukan “Double Treble” Kedah 2007-2008, pemain ini tidak perlu diperkenalkan lagi.

“Biarpun kini menganjak usia 33 tahun, pemain ini masih unggul menjadi pemain tempatan paling banyak menjaringkan gol untuk Liga Super 2021.

“Aksi konsisten beliau menjadikannya kekal sebagai sandaran pasukan kebangsaan mengemudi barisan tengah untuk Piala AFF yang dijangka bermula pada 6 Disember ini.

“Selamat Datang ke Negeri dibawah Bayu Baddrol Bakhtiar.”

Sabah juga mengalu-alukan ketibaan Dominic setelah dua tahun beliau beraksi dengan kelab Thailand, Police Tero.

“Mula mencipta nama bersama Harimau Muda C, pemain pertahanan kental ini kemudiannya memilih untuk bersama pasukan JDT pada musim 2016.

“Beliau kemudiannya dipinjamkan ke Portugal bersama kelab Vilaverdense F.C. pada tahun 2018 dan kemudiannya bersama pasukan Police Tero di Liga 1 Thailand.

“Biarpun baru berusia 24 tahun, pengalamannya bermain bersama Kelab luar sudah pasti memberikan lebih banyak kualiti kepada pasukan.

“Beliau kini turut berada dalam senarai skuad Piala AFF kebangsaan.”