Liga Super Malaysia Berita

Sabah nafi salah laku, pecah amanah dalam pengurusan

Sabah FC menyangkal dakwaan salah laku dan pecah amanah dalam pengurusan kelab musim ini.

Ini selepas sebuah portal mendakwa terdapat salah laku dalam urusan perpindahan pemain, dengan menjadikan perpindahan pemain sebagai perniagaan dengan meletakkan gaji yang tinggi supaya dapat mengambil sebahagian gaji pemain untuk meraih keuntungan.

“Semua urusniaga perpindahan pemain termasuk pemain import mempunyai dokumen rasmi dengan mengikut prosedur ditetapkan serta bukan dijalankan secara sesuka hati,” menurut Sabah dalam kenyataan.

Sabah turut dituduh membeli peralatan fasiliti dengan harga lebih mahal dari harga pasaran, dengan membeli lampu LED stadium yang berharga RM300,000 yang boleh meningkat kepada RM800,000 serta membeli peralatan menyukat bacaan jantung yang berharga RM300 namun mencecah hingga RM130,000.

“Sabah FC cuma membayar RM30,000 untuk kos logistik LED ke Kota Kinabalu dan ia adalah sumbangan daripada salah satu penaja kelab untuk musim ini.

“Bagi sistem Catapult pula, hanya RM65,000 dibelanjakan kelab dan ia dibeli secara terus dari Australia, tanpa membabitkan mana-mana orang tengah, tidak seperti yang dinyatakan dalam portal itu.”

Justeru, pengurusan Sabah FC akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan melulu.

“Pihak pengurusan akan membuat laporan polis untuk memaklumkan mengenai hasutan ini dan sekiranya portal ‘online’ terbabit atau mana-mana pihak secara terus menerus menabur fitnah yang tidak berasas, Sabah FC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Sabah FC percaya segala tuduhan tidak berasas ini adalah dengan niat untuk menjatuhkan imej serta kerja keras yang dibuat pihak pengurusan selama ini.

“Fokus utama kelab adalah untuk meletakkan Sabah FC di landasan yang betul di dalam mahupun luar padang.”