Liga Super Malaysia Berita

Brendan Gan nafi gajinya dipotong kerana kanser

Brendan Gan tampil menafikan bahawa gajinya dipotong separuh kerana mengalami kanser.

Ini selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa sebuah pasukan Liga Malaysia memotong 50 peratus gaji pemainnya yang sedang menghidap kanser.

“Saya melihat dan membaca mengenai apa yang diperkatakan di media sosial dan saya lihat perkara ini boleh ditakrifkan dalam pelbagai cara,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya.

“Tetapi saya mahu menjelaskan bahawa Selangor mematuhi kontrak 2021 dengan sepenuhnya.

“Ayuh fokus untuk perlawanan penting pada malam ini dan menyokong barisan pemain untuk membawa pulang tiga mata.”

Selangor turut mengeluarkan satu kenyataan rasmi bahawa pihaknya sentiasa mematuhi setiap peruntukan yang sudah ditetapkan dalam kontrak pemain.

“Pihak kelab sudah memenuhi semua kewajipan seperti yang dipersetujui di dalam kontrak dari awal hingga hari ini dan kami akan terus melakukannya sehingga tamat mana-mana kontrak sedia ada.

“Untuk sebarang urusan kontrak masa hadapan, adalah sedia maklum bahawa pengaturan baharu akan dibuat atas persetujuan bersama.

“Di Selangor, kami sentiasa memberikan sokongan yang terbaik dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua pemain kami. Kita kalah bersama, kita menang bersama.”

Brendan disahkan menghidap kanser testis pada 26 Julai lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu sudah pun menjalani pembedahan dan sedang dalam proses pemulihan.