Piala Malaysia Berita

[VIDEO] JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia 2021

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Piala Malaysia susulan kemenangan 3-0 ke atas Sabah di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri malam tadi.

Beraksi di hadapan peminat buat kali pertama sejak April, JDT mendominasi permainan untuk memperoleh kemenangan keempat berturut-turut dalam Kumpulan D untuk mengekalkan rekod 100 peratus dalam pertandingan itu setakat ini.

JDT bermula pantas apabila Leandro Velazquez menjaringkan gol pertama dari luar kotak penalti, seawal minit ke-6.

Bergson menambah gol kedua pada minit ke-33 hasil sepakan penalti yang berjaya menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohi setelah hantaran Corbin-Ong terkena tangan pemain Sabah, Ummareng Bacok.

Bergson melengkapkan kemenangan JDT dengan menanduk masuk gol ketiga pada hujung separuh masa kedua.

Dengan meraih tiga mata, JDT kini berada dalam kedudukan yang tidak boleh diganggu gugat di tangga teratas Kumpulan D dan akan menamatkan saingan sebagai juara kumpulan dengan baki dua lagi perlawanan selepas 4 perlawanan.

Baki slot suku akhir daripada kumpulan itu akan menjadi pertarungan antara Sabah, PJ City dan Kelantan, memandangkan PJ City terikat seri tanpa jaringan dengan Kelantan di Kota Bharu semalam.

Satu mata yang diperoleh oleh PJ City mengukuhkan kedudukan mereka di tempat kedua dengan 5 mata selepas 4 perlawanan, namun akan berdepan Sabah dan JDT dalam dua perlawanan terakhir.

Kelantan dan Sabah berada di tangga tercorot kumpulan D dengan dua mata.