Antonio Conte akhirnya telah dilantik sebagai pengurus Tottenham yang baharu, selepas berbulan-bulan dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Man United.
Namun, Man United nampaknya akan terus kekal dengan Ole Gunnar Solskjaer selepas Conte membuat keputusan untuk menyertai Spurs.
Conte menandatangani kontrak sehingga Jun 2023, bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Nuno Espirito Santo yang dipecat selepas hanya mengendalikan 17 perlawanan, dengan kekalahan 3-0 di laman sendiri kepada Manchester United menjadi perlawanan terakhir Nuno bersama Spurs.
“Saya sangat gembira untuk kembali mengendalikan latihan, dan berbuat demikian di kelab Premier League yang mempunyai cita-cita untuk menjadi protagonis sekali lagi,” kata Conte dalam satu kenyataan.
“Saya tidak sabar untuk mula bekerja, dengan menyampaikan kepada pasukan dan peminat satu semangat, mentaliti dan keazaman yang sentiasa menjadi pendirian saya sebagai pemain dan sebagai jurulatih.”
Conte, 52, tidak mempunyai kelab sejak bulan Mei apabila beliau menamatkan kontraknya di Inter kerana tidak berpuas hati dengan rancangan mereka untuk mengurangkan perbelanjaan sejurus selepas menjulang kejuaraan Serie A pertama dalam tempoh 11 tahun.
Namun, Conte dikaitkan dengan Tottenham pada pra-musim apabila kelab itu mencari pengganti tetap berikutan pemecatan Jose Mourinho, tetapi pengurus Itali itu berkata terlalu awal untuk beliau mengambil peranan baharu selepas meninggalkan Inter.
“Musim panas lalu, ia tidak berlaku kerana penghujung hubungan saya dengan Inter masih terlalu baru dan terlalu terlibat secara emosi dengan penghujung musim, jadi saya rasa masih belum masa yang sesuai untuk kembali melatih,” jelas Conte.
“Tetapi keazaman Daniel Levy kerana mahu meletakkan tugas ini kepada saya sudah sampai masanya. Sekarang peluang itu kembali, saya telah memilih untuk mengambilnya dengan penuh keyakinan.”
Pengarah urusan bola sepak Spurs, Fabio Paratici meluahkan rasa teruja dapat membawa masuk Conte, individu yang pernah bekerjasama dengannya ketika berada di Juventus.
“Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Antonio ke kelab. Rekod prestasinya telah membuktikannya, dengan pengalaman luas dan trofi di Itali dan England,” kata Paratici.
“Saya tahu secara langsung kualiti yang boleh diberikan oleh Antonio kepada kami, setelah bekerja dengannya di Juventus, dan tidak sabar untuk melihat beliau bersama pemain kami.”
Conte merupakan antara pengurus dan jurulatih pasukan bola sepak terkemuka dunia, apabila beliau memulakan dominasi Juventus di Serie A, memenangi liga tiga kali berturut-turut bermula dengan musim 2011-2012.
Beliau kemudian mengendalikan skuad kebangsaan Itali selama dua tahun, sebelum dilantik sebagai pengurus Chelsea pada 2016 dan memenangi Premier League pada musim pertamanya di Stamford Bridge.
Pada musim panas 2019, beliau membuat keputusan untuk mengendalikan Inter Milan dan hanya memerlukan dua musim untuk menamatkan dominasi Juventus di Serie A.