Malaysia Berita

Brad Maloney bangga Malaysia layak Piala Asia B-23, catat rekod tanpa kalah dan tanpa bolos

Ketua jurulatih skuad B-23, Brad Maloney mengakui bangga dengan kejayaan pasukannya yang layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022.

Lebih hebat apabila Malaysia menamatkan saingan kelayakan Kumpulan J di tangga teratas dengan 7 mata, dengan rekod tanpa kalah dan tanpa bolos apabila menang 1-0 ke atas Laos, 1-0 ke atas Mongolia dan seri 0-0 dengan Thailand.

“Pencapaian menakjubkan daripada para pemain,” kata Brad Maloney kepada Bernama.

“Saya mempunyai kepercayaan luar biasa terhadap pasukan ini. Mereka beraksi dengan sangat mantap dan profesional sepanjang kejohanan ini.

“Kami tidak dibolosi walaupun satu gol dalam keseluruhan perlawanan dan ia sama juga hari ini. Sudah tentu saya amat berbangga dengan pasukan ini.”

Maloney menganggap ia merupakan kejayaan manis buat skuad negara setelah berdepan pelbagai cabaran susulan pandemik COVID-19.

“Kita mempunyai pelbagai perancangan pada awalnya, tapi disebabkan pandemik, kebanyakan rancangan terpaksa ditukar dan kita perlu ubah.

“Kita hanya ada dua minggu persediaan sebelum ke Mongolia.

“Kita juga pasukan terakhir tiba di sini… ketika tiba, kita terus memulakan misi, bermain habis-habisan dan capai apa yang kita hendak capai.”

Sejak Piala Asia B-23 bermula pada 2013, Malaysia pernah sekali layak ke pusingan akhir pada 2018 di China, yang mana ketika itu skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee mara ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan.

Sebanyak 16 pasukan akan bersaing pada pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Uzbekistan pada 1-19 Jun tahun depan.