Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Saya tidak beri keistimewaan kepada pemain naturalisasi

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe menegaskan beliau tidak memberi sebarang keistimewaan kepada pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan.

Ini setelah Guilherme De Paula masih dipilih untuk skuad kebangsaan meskipun beraksi hambar dalam perlawanan lalu.

Malah, beliau berkata, tidak ada tekanan atau campur tangan mana-mana pihak untuk menyenaraikan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan, sebaliknya mereka tetap perlu melalui sesi pemilihan sama seperti pemain lain.

Bagaimanapun, beliau mengakui De Paula dipilih adalah untuk menguji kemampuannya memandangkan tiada penyerang tempatan berkualiti yang boleh mengisi posisi itu.

“Bagi saya semua pendapat dan kritikan ada betulnya kerana semua orang mahu lihat yang terbaik untuk skuad kebangsaan,” katanya kepada Harian Metro.

“Barisan kejurulatihan memilih pemain yang dilihat layak dan berkebolehan sekali gus tidak memberi keistimewaan kepada pemain naturalisasi atau meminggirkan pemain tempatan.

“Apa yang saya ingin katakan bahawa pemilihan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan bukanlah satu perkara wajib dan ketika ini kita lebih melihat kepada kondisi serta keupayaan pemain itu.”

Beliau bagaimanapun tidak berkecil hati dengan kritikan terhadap pemilihan De Paula.

“Saya perlu berfikiran positif dan sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku termasuklah menerima kritikan pedas daripada pelbagai pihak apabila skuad kebangsaan tewas.”