Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Panggillah mana-mana pemain pun, mesti ada komen negatif

Tan Cheng Hoe mengakui akan ada yang tetap tidak berpuas hati dengan pemilihan pemainnya, meskipun beliau menyenaraikan pasukan terbaik.

Ini selepas beliau berdepan kritikan kerana memanggil Guilherme de Paula, walaupun beliau jarang bermain dengan JDT dan prestasinya hambar ketika bersama skuad kebangsaan ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu.

“Saya rasa jurulatih terbaik dunia pun, kalau dia panggil mana-mana pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan akan ada penyokong atau netizen yang bagi komen negatif,” katanya kepada Berita Harian.

“Jadi, tugas kami adalah untuk membentuk pasukan terbaik bagi masa depan dan juga mendapatkan keputusan positif setiap kali kita ada perlawanan persahabatan atau pertandingan.

“Kita fokus tugas kita sahaja. Kita tak boleh terlalu memikirkan pandangan orang, sudah pasti kalau benda yang boleh berikan impak positif, kita terima.”

Bagaimanapun, Cheng Hoe bertegas bahawa beliau tidak akan memanggil seseorang pemain yang tidak sepatutnya berada dalam skuad kebangsaan.

“Sekiranya yang tak logik, sukar juga untuk kita terima. Kita bukan nak lawan semua orang, saya pun bukan jenis yang anggap saya sahaja betul dan orang lain salah.”

Selain De Paula, beliau juga dikritik kerana tidak memanggil beberapa pemain seperti Safawi Rasid, Farizal Marlias, La’Vere Corbin-Ong, Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies.

Namun, Cheng Hoe menegaskan bahawa kem latihan pusat kali ini adalah bagi menguji muka-muka baharu dan pemain yang sudah lama tidak menyertai skuad kebangsaan.