Liga Super Malaysia Berita

Selepas Perak tersingkir, 2 ahli politik letak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah

Dua ahli politik meletakkan sebagai ahli lembaga pengarah Perak FC, selepas pasukan itu tersingkir ke Liga Premier setelah 17 tahun beraksi di Liga Super.

Mereka berdua adalah ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Khairul Shahril juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed.

Beliau bagaimanapun menafikan laporan yang mendakwa peletakan jawatan itu adalah susulan prestasi buruk pasukan tersebut.

“Tidak. Saya memang sudah lama berhasrat untuk meletak jawatan,” katanya kepada Bernama.

“Seperti yang sudah tersebar, saya dan Datuk Sham Mat Sahat akan meletakkan jawatan dalam Perak FC dan PAFA.

“Selesai sahaja kuarantin pada Khamis ini, ia akan diuruskan secara rasmi.”

Walaupun telah melalui proses penswastaan kelab tahun lalu, pasukan Perak berdepan dengan masalah kewangan yang meruncing sehingga menyebabkan berlakunya masalah tunggakan gaji.

Selepas Mehmet Durakovic meletakkan jawatannya sebagai jurulatih, Perak pada awal musim tidak berada di kedudukan tercorot di bawah kendalian Chong Yee Fatt.

Namun, Perak mula mencatatkan kekalahan demi kekalahan apabila beberapa pemain utama meninggalkan pasukan bermula dengan perpindahan kapten pasukan, Shahrul Saad, Guilherme de Paula ke JDT, Kenny Pallraj dan J Partiban ke KL City, malah Shakir Hamzah, Leandro dan Careca turut meninggalkan pasukan itu.

Hasilnya, Perak hanya mencatatkan 3 kemenangan, 4 seri dan 14 kekalahan dengan meraih 13 mata selepas 21 perlawanan.

Sehingga kini, Perak merupakan salah satu pasukan yang sudah diswastakan tetapi belum mempunyai pemilik dan masih dikendalikan oleh Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).