Liga Super Malaysia Berita

Puma pembekal rasmi bola Liga Malaysia hingga 2024

Buat pertama kali dalam sejarah, jenama sukan global Puma menjadi pembekal bola rasmi bagi semua pertandingan Liga Malaysia di bawah kendalian MFL.

Ia selepas MFL mengumumkan kerjasama rasmi dengan Puma bersama dengan rakan pengedarnya, Active Sports.

Perjanjian jangka panjang ini akan bermula pada pertandingan TM Piala Malaysia 2021, dengan Puma menyediakan semua bola perlawanan rasmi sehingga 2024.

Bola pertandingan rasmi edisi khas MFL untuk TM Piala Malaysia 2021 bakal menggabungkan teknologi terkini yang dibangunkan oleh Puma, direka untuk melengkapkan pelbagai gaya permainan selain menampilkan logo Piala Malaysia 100 Tahun.

Selain Piala Malaysia, pertandingan di bawah kelolaan MFL merangkumi Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Challenge Cup.

Ini bermakna, Liga Malaysia muncul liga bola sepak pertama di Asia bersama Puma yang secara rasmi menghasilkan bola perlawanan edisi khas sekali gus mengukuhkan lagi portfolio Puma di peringkat global.

Puma juga merupakan pembekal bola perlawanan rasmi LaLiga, yang dibintangi duta Puma berkelas dunia seperti Luis Suarez dan Antoine Griezmann serta turut digunakan dalam saingan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).

“Tajaan ini menandakan kepercayaan dan keyakinan jenama sukan global PUMA terhadap jenama dan kualiti Liga Bola Sepak Malaysia yang menyaksikan peningkatan dari tahun ke tahun,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

“MFL amat gembira dengan perkongsian jangka panjang ini dengan PUMA dan ACTIVE SPORTS di kala kami berdepan cabaran akibat pandemik COVID-19. Oleh itu, kami melihat ini sebagai kekuatan semua jenama kami.”

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yakin bahawa PUMA & ACTIVE SPORTS akan mendapat hasil penajaan yang menggalakkan daripada perkongsian jangka panjang ini.

“Kerjasama bersama pihak PUMA dan Active Sports juga memastikan bahawa kelebihan teknologi bola dan juga produk-produk daripada PUMA dapat dinikmati oleh berjuta-juta peminat bola sepak tanahair melalui pelbagai rancangan promosi dan peraduan menarik yang akan kami aktifkan dalam masa terdekat.”

Pengurus Besar PUMA Malaysia, Steven Tan berkata, ia adalah suatu kebanggaan apabila dapat melancarkan kerjasama jangka masa panjang yang menarik ini bersama MFL.

“Bola sepak sememangnya menjadi sebahagian daripada DNA PUMA. Kami berharap dapat sentiasa membawa produk terbaik dalam bola sepak, sentiasa bersedia berdepan cabaran dan terus berinovasi.

“Selaras dengan gerakan global Faster Football yang baharu dilancarkan, kami percaya bahawa kerjasama ini akan membuktikan komitmen kami untuk mendorong komuniti bola sepak tempatan bergerak ke hadapan dan menjadi inspirasi bagi semua anak muda Malaysia.

“Tujuan utama kami adalah untuk mengatasi halangan & cabaran, dengan mempercepatkan permainan menerusi produk inovatif dan ini adalah dorongan kami dalam mencapai Faster Football.

“Kami gembira dengan peluang yang akan dihasilkan oleh perkongsian ini dan kami menantikan kolaborasi masa depan.”

Pemilik Active Sports, S. Murugeson meluahkan rasa bangga dapat bekerjasama dengan MFL.

“Active Sports telah menaja beberapa pasukan terkemuka di Liga Malaysia, dan kami sangat gembira untuk meningkatkan tahap penglibatan kami bersama badan pengelola Liga Malaysia.

“Peluang untuk bekerjasama dengan MFL dan PUMA dalam menghasilkan Bola Perlawanan Edisi Khas merupakan tonggak pencapaian penting dalam sejarah bola sepak Malaysia.

“Kerjasama ini memberi kami peluang untuk mempamerkan produk bertaraf antarabangsa menggunakan teknologi terkini dalam dunia bola sepak yang memberi manfaat kepada pemain dan pertandingan serta dapat dinikmati oleh jutaan penyokong Malaysia.

“ACTIVE SPORTS mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan mantan Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin atas kerja keras mereka dalam meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia.

“Terima kasih juga kepada Steven Tan dan keluarga PUMA Global yang bersama-sama, memberikan sokongan yang kuat dalam kerjasama ini.”