CEO MFL, Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa bantahan Negeri Sembilan terhadap Kelantan ditolak, sebaliknya membuat keputusan untuk mendenda pasukan itu dengan RM30,000.
Ini selepas Kelantan membuat lima pertukaran pemain ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam saingan Liga Premier pada 27 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Stuart berkata, Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan keputusan tersebut dan tidak menghadiahkan tiga mata kepada Negeri Sembilan di atas kesalahan tersebut.
Stuart menerima surat bantahan daripada Negeri Sembilan bertarikh 30 Ogos lalu dengan meminta MFL menggunakan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021 untuk menilai kesalahan yang dilakukan Kelantan.
“Dalam surat bantahan terbabit, Negeri Sembilan turut melampirkan Artikel 2.1.1 dan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga M 2021,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
“Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat bagi menyelesaikan masalah terbabit.
“Bagaimanapun, Ahli Lembaga MFL sudah membuat ketetapan bahawa keputusan perlawanan membabitkan Negeri Sembilan dan Kelantan kekal. Perkara ini boleh dirujuk mengikut Artikel 5.3.2, Peraturan Pertandingan, Manual Liga M 2021.”
Kelantan dilaporkan melakukan pertukaran pemain pada minit ke-71, minit ke-82, minit ke-85 dan minit kedua masa tambahan.
Sebelum ini, pemilik Kelantan, Norizam Tukiman mempertahankan pertukaran pemain itu kerana ia mendapat kebenaran pengadil.
Justeru, beliau menganggap tidak wajar kesalahan itu ditujukan kepada Kelantan sebaliknya menganggap ia sebagai kesilapan pegawai perlawanan tersebut.
“Sebelum melakukan pertukaran pemain kelima yang dibuat pada minit ke-90+2, penolong jurulatih Kelantan sudah merujuk terlebih dahulu kepada pengadil keempat yang bertugas dan selanjutnya memberikan kelulusan serta pengesahan untuk pertukaran boleh dilakukan.
“Kelantan ingin menegaskan rujukan awal sudah dibuat terlebih dahulu sebelum pertukaran pemain dibuat yang mana ia adalah menurut kepada kelulusan yang diberikan pegawai perlawanan.”