Perak membuat keputusan untuk merehatkan Chong Yee Fatt setelah pasukan kendaliannya berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super musim ini.
Keputusan itu juga dibuat selepas mempertimbangkan situasi semasa dan mengambil kira cadangan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
“Perak FC telah memutuskan agar Ketua Jurulatih, Chong Yee Fatt direhatkan sementara mulai hari ini sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“Dalam tempoh itu, Perak FC telah membuat keputusan agar jawatan Yee Fatt akan disandang oleh Penolong Ketua Jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil.”
Perak yakin pengalaman luas Shahril Nizam bersama pasukan bola sepak Perak sejak 2017 akan dapat membantu skuad dalam mengharungi baki perlawanan Liga Super musim ini, seterusnya bangkit memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
“Perak FC berharap semua pihak, khususnya para peminat dapat terus memberikan sokongan padu dan kepercayaan kepada pasukan.”