Berita AFC U23 Championship

Luqman Hakim, Arif Aiman dan Jaami Qureshi dalam radar skuad Piala Asia B-23

Jurulatih B-20 negara, Brad Maloney merancang untuk menyenaraikan Luqman Hakim, Arif Aiman dan Jaami Qureshi untuk skuad yang akan menghadapi kelayakan Piala Asia Bawah-23 di Mongolia pada 23-31 Oktober ini.

Ini selepas Malaysia diundi berada dalam Kumpulan J dengan Thailand, Laos dan Mongolia.

“Saya akan berbincang dengan jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan memeriksa sama ada pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman ​​Hanapi akan diperlukan untuk tugasan skuad senior pada bulan Oktober,” katanya kepada NST.

“Kedua-dua pemain adalah sebahagian daripada rancangan saya untuk kelayakan ini. Saya sudah pun bercakap dengan Luqman selepas sesi undian kumpulan, dan dia tidak sabar untuk beraksi di Mongolia.

“Tetapi kita perlu mendapatkan pelepasan dari kelabnya, KV Kortrijk.”

Luqman dan Arif merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan yang beraksi dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Maloney juga berminat untuk menyenaraikan Jaami Qureshi Brighton untuk pusingan kelayakan ini.

Skuad B-23 kemungkinan akan mengadakan kem latihan pada 30 Ogos hingga 7 September dan 4-12 Oktober semasa jendela FIFA, namun, pasukan senior juga dijangka berkumpul dalam tempoh yang sama.

Bagaimanapun, kelayakan Piala Asia B-23 akan bertembung dengan suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia mengikut jadual yang ditetapkan ketika ini.

Namun Maloney tidak begitu bimbang walaupun mungkin akan menghadapi masalah untuk mendapatkan khidmat pemain.

“Kami mempunyai hubungan baik dengan semua pasukan Liga Malaysia. Kami akan berbincang dengan mereka jika kami memerlukan pemain mereka untuk layak.”

FAM tidak melantik jurulatih B-23 selepas Ong Kim Swee meletakkan jawatan, tetapi meletakkan segala tugasan B-23 kepada Maloney, malah beliau juga ditugaskan untuk skuad Sukan SEA di Hanoi tahun depan.