Liga Premier Malaysia Berita

Selepas lebih setahun di Sabah, Zubir Azmi sertai Kelantan

Zubir Azmi membuat keputusan untuk meninggalkan Sabah dan menyertai pasukan Liga Premier, Kelantan ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Ia selepas Sabah menandatangani pertahanan kiri, Nazirul Naim secara pinjaman dari Perak.

Pemain berusia 29 tahun itu cukup dikenali ramai kerana merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan yang beraksi dalam Piala AFF 2012 dan 2014.

“Saya akui sangat bangga apabila mendapat panggilan dari pihak pengurusan yang mahu menggunakan khidmat saya untuk membantu pasukan The Red Warriors yang bakal bermula perlawanan menentang Perak FC II minggu hadapan,” kata Zubir.

“Sebagai pemain bolasepak, saya mahu karier saya kekal dan bertekad untuk membuat sesuatu kepada pasukan ini untuk membalas jasa baik pihak pengurusan yang memberi kepercayaan kepada saya dan akan mencurahkan segala pengalaman yang ada untuk pemain muda Kelantan.”

Pada masa sama, Zubir berharap dapat membantu pasukan barunya beraksi di Liga Super.

“Sasaran saya mestilah untuk membawa pasukan ini melangkah ke Liga Super, dan bertekad untuk memberi persembahan yang terbaik untuk memperoleh kemenangan setiap perlawanan”.

Kelantan dilihat cuba mengimbangkan pasukan yang rata-rata dibarisi pemain muda dengan pemain berpengalaman seperti penjaga gol veteran, Farizal Harun dan pemain tengah berusia 27 tahun, Syed Sobri Syed Mohamad yang sebelum ini beraksi dengan UKM FC.

Namun, Kelantan turut membawa masuk pemain amatur, Shahrul Albert yang sebelum ini beraksi dengan Zamsaham FC.