Berita AFC Cup

Indonesia ditawar jadi tuan rumah Piala AFC

Indonesia ditawar menjadi tuan rumah Piala AFC untuk tiga kumpulan iaitu G, H dan I, selepas Singapura menarik daripada menjadi tuan rumah.

Ini berkemungkinan Indonesia mempunyai dua wakilnya di Piala AFC 2021, iaitu Persipura Jayapura dalam kumpulan H bersama Kedah, Lion City Sailors dari Singapura dan Saigon dari Vietnam.

Bali United pula berada dalam kumpulan G bersama Hanoi FC (Vietnam), Boeung Ket dari Kamboja dan satu lagi pasukan dari playoff.

Bagaimanapun, setiausaha agung PSSI, Yunus Nusi berkata pihaknya masih mempertimbangkan tawaran tersebut.

“AFC menawarkan kami menjadi tuan rumah,” katanya kepada CNN Indonesia.

“Tapi masih kami komunikasikan dengan AFC. PSSI mahu, tapi masih mempertimbangkan keadaan Covid-19 yang makin memburuk di Indonesia.”

Stadium Bali United iaitu Stadion I Wayan Dipta, Gianyar, Bali satu-satunya stadium yang boleh digunakan untuk menjadi tuan rumah memandangkan stadium milik Persipura iaitu Stadion Mandala Jayapura tidak boleh digunakan kerana sedang dinaik taraf untuk menganjurkan Pekan Olahraga Nasional (PON) XX Papua pada 2-15 Oktober ini.

Bagaimanapun, Yunus berkata pihaknya sedang berunding dengan Bali United yang akan menamatkan penaiktarafan Stadion Kapten I Wayan Dipta pada 2 Julai, dengan kemungkinan jadual Piala AFC ditunda ke tarikh baharu.

“Sudah dikomunikasikan dengan AFC.

“Bali United dan Persipura juga masih khuatir dengan keadaan pandemik Covid-19 saat ini. Kerana pasukan dari negara lain juga pasti perlu dikuarantin di Indonesia.”

PSSI akan memberikan keputusan berhubung penawaran tuan rumah pada Isnin, minggu depan.