Liga Super Malaysia Berita

Nafuzi: JDT ada kelebihan, tapi Terengganu tidak harus gentar

Pertemuan antara JDT dan Terengganu menjadi tumpuan dalam perlawanan ke-10 Liga Super minggu ini kerana ia membabitkan pertembungan antara pendahulu liga dan pasukan di tangga kedua.

Bagi jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain mengakui perlawanan menentang JDT merupakan satu cabaran, terutamanya apabila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.

Namun, beliau menasihatkan para pemainnya supaya tidak terlalu menghormati JDT ketika perlawanan esok.

“Memanglah JDT mempunyai pelbagai kelebihan,” katanya kepada Bernama.

“Pasukan mereka ada ramai pemain yang sudah bersama selama dua atau tiga tahun jadi persefahaman yang mereka ada mungkin lebih baik berbanding kita.

“Namun, saya ingatkan anak buah supaya jangan gentar dan yakin dengan diri sendiri apabila ‘pegang bola’ nanti. Kita juga ada kemampuan sendiri,” katanya kepada pemberita di sini.

JDT ketika ini mengumpul 23 mata, manakala Terengganu mengumpul 18 mata.

Pencabar terdekat, Kedah yang bertemu KL City hari ini di Alor Setar pastinya berharap dapat memintas Terengganu memandangkan kedua-dua pasukan ini hanya dibezakan dengan satu mata.

Pulau Pinang turut berpeluang untuk memintas Terengganu sekiranya berjaya menewaskan Pahang di Georgetown esok.