Malaysia Berita

FAM nafi isu potong giliran ambil suntikan vaksin

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menafikan barisan pemain skuad kebangsaan dan pegawai memotong giliran ketika menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Dewan Seri Seroja di Putrajaya, Isnin lepas.

Katanya, seramai 39 pemain daripada 78 individu telah menerima suntikan vaksin dan baki penerima telah mendapat kelulusan.

“Saya tidak ingin memberikan komen yang panjang tetapi kita dapat kelulusan dan telah mengikut proses yang sempurna,” katanya kepada Bernama.

Stuart turut mengesahkan Brendan Gan, Syahmi Safari, Khairulazhan Mohd Khalid, Shahrel Fikri Md Fauzi dan S.Kumaahran selesai menerima vaksin itu hari ini.

“Suntikan ini bukan kelompok kedua pemain, sebaliknya pemain yang tidak dapat hadir pada Isnin lepas disebabkan masalah logistik.”

Seramai 78 individu terdiri daripada pemain dan pegawai termasuk pegawai tertinggi FAM mula menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Pemberian vaksin tersebut mendapat kecaman selain menjadi pertikaian di media sosial yang antaranya mempersoalkan mengapa skuad Harimau Malaya diberikan keutamaan berbanding golongan lain di negara seperti warga emas, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pendidik.

Kecaman itu aneh sedangkan seramai 264 atlet dan pegawai yang terlibat dengan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo menerima suntikan vaksin COVID-19 pada 13 April lalu tidak menerima kecaman yang sama.

Malah, mereka adalah merupakan kumpulan pertama daripada keseluruhan 4,000 atlet dan pegawai dalam senarai Kementerian Belia dan Sukan untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama.