Liga M3 Berita

14 pasukan disenarai pendek, bakal sertai Liga M3 musim 2021

Sebanyak 14 pasukan telah disenarai pendek dan bakal menyertai Liga M3 musim 2021 yang akan bermula pada Jun ini.

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu dibuat susulan daripada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL yang pertama pada 26 Mac lalu.

Katanya, 14 pasukan itu telah disaring daripada 23 pasukan yang telah menghantar permohonan untuk menyertai Liga M3 2021.

“Selain daripada 14 pasukan, maksimum 6 pasukan yang masih lagi disaring akan dipilih oleh pihak AFL bagi melengkapkan senarai pasukan akhir yang bertanding,” katanya dalam kenyataan.

“Antara faktor yang menyebabkan pasukan gagal di dalam proses saringan dokumen adalah tiada sokongan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (PBN), status kewangan yang tidak kukuh atau gagal untuk menghantar dokumen lengkap yang berkaitan.

“Seperti yang diumumkan 23 Disember 2020, AFL kini sedang dalam proses penstrukturan semula sebagai persediaan pasukan ke arah liga semi profesional di mana konsep atau format pertandingan yang baharu akan dikongsi kelak selepas pengumuman senarai akhir pasukan yang bertanding.

“Antara kriteria penting yang menjadi pengukur proses saringan dokumen untuk bertanding di dalam Liga M3 2021 adalah kesukanan, pengurusan dan pentadbiran, kewangan dan perundangan.

“Bagi musim ini juga, AFL telah membuka slot tambahan kepada pasukan baharu menerusi kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) sekali gus memberi peluang yang sama rata kepada pasukan yang mempunyai hasrat untuk bertanding.

“Proses saringan dokumen ini telah dijalankan dengan adil ke atas semua pasukan di mana AFL telah memastikan komunikasi yang telus bersama mereka (pasukan),” jelasnya lagi.

Selain itu, Yusoff berkata Liga M4 juga diberi peluang untuk menyertai Liga M3 menerusi slot tambahan yang ditawarkan oleh AFL namun setakat ini hanya Real Chukai sahaja yang berjaya mengemukakan dokumen secukupnya.

“Bagi memastikan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M3 2021 bersedia untuk melangkah ke liga profesional, AFL juga akan bekerjasama bersama MFL untuk melaksanakan dasar pelesenan dan penswastaan kelab di peringkat liga amatur bagi menjamin kualiti pasukan-pasukan Liga M3 dari segala aspek untuk tahun-tahun seterusnya,” katanya.

14 pasukan adalah seperti berikut:

1. Armed Forces FC
2. BRM FC
3. Cyberlynx FC
4. FC Langkawi
5. Harini KS FC
6. Kijang Rangers FC
7. Kinabalu Jaguars FC
8. KSR Sains FC
9. Kuala Kangsar FC
10. Langkawi City FC
11. Manjung City FC
12. MNY FC
13. PIB FC
14. Real Chukai FC