Liga Super Malaysia Berita

Pulau Pinang malukan Selangor, Melaka dapat balik 3 mata

Selepas beberapa hari meraikan kejayaan meraih keputusan seri ke atas JDT, Selangor seolah-olah masih bermimpi apabila tewas mengejut 2-0 kepada Pulau Pinang di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Malah dari awal perlawanan lagi Selangor bergelut untuk menghasilkan peluang dan jaringan gol.

Sebaliknya, Pulau Pinang mendahului menerusi Al-Hafiz Harun pada minit ke-38.

Selangor banyak melakukan tekanan, dari penghujung separuh masa pertama, hinggalah separuh masa kedua untuk menjaringkan gol penyamaan.

Namun, Selangor sekali lagi dikejutkan dengan gerakan pantas Pulau Pinang apabila Danial Ashraf Abdullah berjaya menyambut bola dari bahagian tengah dan berupaya melepasi Khairulazhan untuk menjaringkan gol kedua buat pasukan lawan pada minit ke-73.

Selangor kini menduduki tangga ke-7 dengan 5 mata, manakala Pulau Pinang berada di tangga ke-4 liga dengan 8 mata.

Pemotongan 3 mata buat Melaka United seolah-olah tidak bermakna apabila berjaya mencatatkan kemenangan pertama musim ini dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Hang Jebat.

Pasukan tuan rumah mendahului menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Alex Goncalves pada minit ke-51.

Alex menggandakan jaringan pada minit ke-81, sekali lagi menerusi sepakan penalti.

KL mendapat gol saguhati menerusi Zhafri Yahya pada minit ke-89.

Melaka kini berada di tangga ke-8 dengan 4 mata, manakala KL di tempat ke-5 dengan 7 mata.

Di Shah Alam, Kedah meraih kemenangan ketiga apabila menang tipis 1-0 ke atas UiTM FC.

Faizat Ghazli menjadi penjaring tunggal perlawanan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-43.