Malaysia Berita

Cheng Hoe: Tiada Liridon Krasniqi, Junior Eldstal kali ini

Meskipun Malaysia mempunyai beberapa pemain beraksi di luar negara, Tan Cheng Hoe hanya memanggil Luqman Hakim Shamsudin dari KV Kortrijk.

Beliau menjelaskan, beliau mahu memanggil Liridon Krasniqi dan Junior Eldstal, namun kekangan tertentu menyebabkan beliau tidak menyenaraikan kedua-dua pemain itu.

“Saya tidak memanggil dua lagi pemain yang beraksi di kelab luar negara iaitu Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan Junior Eldstal (Chonburi FC) kerana tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke Australia dan Thailand menjadi kesukaran untuk mereka menyertai kem latihan pusat kali ini.

“Lagipun kedua-dua pemain ini saya lihat sedang meningkatkan persembahan dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu mereka ini.

“Jadi saya kira lebih baik mereka menyertai kem latihan pusat pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan di Liga Australia dan Liga Thailand.

“Bagi Luqman Hakim pula, memang dari tahun lepas kita rancang nak panggil dia sertai kem latihan pusat ini. Jadi ini peluang terbaik untuk kita melihat tahap fizikal, keyakinan dan corak permainannya selepas lebih enam bulan bersama KV Kortrijk di Belgium.”

Dalam pada itu, enam pemain diletakkan dalam senarai menunggu, jika terdapat mana-mana daripada 28 pemain yang berada dalam senarai dipanggil kali ini disahkan mengalami kecederaan oleh doktor pasukan.

Mereka terdiri daripada penjaga gol, Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin Akwensivie (Kedah Darul Aman FC), Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC), S. Kumaahran (Melaka United FC) dan Darren Lok (PJ City FC).